Cari @ Amanz

Tidak lama selepas memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Zen 4 mereka, AMD kini dilihat mengalihkan perhatian dengan melancarkan siri kad grafik terbaru mereka yang berdasarkan cip pemprosesan grafik RDNA 3 terbaru mereka.

Sewaktu acara yang baru sahaja berlangsung, Dr Lisa Su, CEO AMD telah memperlihatkan sejumlah kad grafik yang tampil dengan prestasi yang cukup hebat sekali, khususnya jika anda seorang kipas susah mati AMD yang mahu menaiktarafkan komponen komputer anda kepada sesuatu yang boleh menggerakkan permainan pada resolusi 4K mahupun 8K melalui penggunaan palam DisplayPort 2.1 yang terbaru.

Hari ini, AMD telah melancarkan dua model kad grafik berdasarkan cip pemprosesan RDNA 3, iaitu AMD Radeon RX 7900 XTX dan juga AMD Radeon RX 7900 XT yang menjanjikan prestasi gaming yang cukup hebat sekali dimana ia mampu memacu paparan dengan resolusi dan kadar segar semula setinggi 8K165FPS dan 4K480FPS.

Dari segi binaan cip pemprosesan, AMD Radeon RX 7900 XTX dan AMD Radeon RX 7900XT merupakan dua kad grafik pertama mereka yang menggunakan rekaan chiplet yang sebelum ini diperlihatkan pada siri cip pemprosesan AMD Ryzen dan EPYC.

Cip pemprosesan grafik ini menggunakan gabungan binaan 5nm pada bahagian cip perkomputeran dan juga 6nm untuk cache memori dan menggabungkannya dalam satu pakej. Ini membolehkan proses grafik digerakkan pada kadar yang lebih pantas dan juga penggunaan kuasa yang lebih cepat untuk membolehkan orang ramai menggunakan kad grafik ini tanpa perlu menaiktarafkan bekalan kuasa mereka kepada model yang mempunyai nilai kuasa yang tinggi.

Dari segi spesifikasi, kad grafik AMD Radeon RX 7900 XTX tampil dengan 96 Compute Unit dan menggunakan 24GB memori GDDR6, manakala AMD Radeon RX 7900 XT hadir dengan 84 Compute Unit dan 20GB memori GDDR6. Kad-kad grafik ini juga menggunakan dua palam kuasa 8-pin PCIe untuk menguasakannya, dan memakan kuasa sebanyak 355W untuk kad grafik RX 7900 XTX dan 300W untuk kad grafik RX 7900 XT.

Dari segi prestasi, AMD mengatakan bahawa kad-kad grafik ini, khususnya RX 7900 XTX boleh menggerakkan permainan pada resolusi dan kadar segar semula yang tinggi. Untuk Apex Legends misalnya, ia boleh digerakkan pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula 300FPS, 4K 300FPS untuk Overwatch 2, dan Assassin’s Creed Valhalla pada resolusi 8K dan kadar segar semula 96FPS.

Untuk prestasi Ray-tracing pula, Cyberpunk 2077 dilihat boleh digerakkan pada resolusi 4K dan kadar segar semula 62FPS. Dalam pada itu, AMD juga mengesahkan bahawa The Callisto Protocol akan hadir dengan sokongan untuk Ray-tracing melalui kad grafik AMD Radeon RX 7900XTX dan XT apabila ia dilancarkan kelak.

Kad grafik AMD Radeon RX 7900XTX dan AMD Radeon RX 7900XT ini akan mula dijual pada 13 Disember ini pada harga $999 untuk AMD Radeon RX 7900 XTX dan $899 untuk kad grafik AMD Radeon RX 7900 XT.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd