Dengan pelancaran siri kad grafik seperti AMD Radeon RX 7900 XTX dan NVIDIA GeForce RTX 4090, kad-kad grafik ini dilihat akan memulakan satu lagi revolusi gaming baharu dimana paparan-paparan beresolusi 8K akan memasuki arus perdana.

Begitulah yang dikatakan oleh pihak AMD apabila mereka melancarkan siri kad grafik AMD RDNA 3 mereka yang terdiri daripada kad grafik AMD Radeon RX 7900 XTX dan AMD Radeon RX 7900 XT, dimana mereka memperlihatkan sejumlah permainan yang boleh digerakkan oleh mereka pada resolusi tersebut.
Di acara pelancaran siri kad grafik tersebut, AMD memperlihatkan bahawa kad grafik mereka mampu menggerakkan paparan beresolusi dan kadar segar semula tinggi, seperti 4K480FPS dan 8K165FPS.

AMD mengatakan bahawa sejumlah paparan 8K dengan kadar segar semula tinggi akan diperlihatkan kelak, dan ini termasuklah penawaran terbaru daripada Samsung, iaitu Samsung Odyssey Neo G9, yang akan tampil dengan sokongan untuk DisplayPort 2.1 yang membolehkannya hadir dengan resolusi 8K ultralebar dan akan menyokong teknologi paparan AMD FreeSync Premium.
Jenama-jenama paparan skrin lain yang akan memperlihatkan penawaran mereka termasuklah Acer, ASUS, Dell dan LG. Model-model paparan 8K oleh jenama-jenama ini juga dijangka akan diperlihatkan pada awal 2023 kelak.