Carian
Tidak Mahu Twitter? Ini Pilihan Platform Media Sosial Yang Boleh Dipertimbangkan
November 7, 2022 Nazrin

Beberapa minggu ini, kami pasti bahawa anda sudah banyak membaca mengenai pengambilalihan platform media sosial Twitter oleh Elon Musk. Selepas membeli syarikat tersebut, CEO Tesla dan SpaceX tersebut dilihat telah mengarahkan para pekerja syarikat tersebut untuk memperkenalkan sejumlah ciri-ciri baru yang dikatakan akan memperbaiki mutu platform tersebut dan pada masa yang sama memecat mereka yang sepatutnya membangunkan ciri-ciri ini.

Campurtangan Elon Musk di Twitter telah menyebabkan sejumlah pengguna tegar platform tersebut mula untuk mencari platform-platform media sosial yang lain, dan tidak mengejutkan bahawa ramai pengguna Twitter tidak mahu menggunakan Facebook juga kerana platform tersebut juga dilihat mempunyai banyak masalahnya yang tersendiri.

Didalam artikel ini, kami akan memperkenalkan sejumlah sejumlah platform bersosial baru dan lama yang boleh dipertimbangkan sekiranya anda salah seorang daripada mereka yang mahu melarikan diri daripada drama di Twitter.

Reddit

Reddit merupakan sebuah komuniti digital yang wujud sekitar masa yang sama seperti Facebook, dan walaupun Facebook telah memperlihatkan peningkatan penggunaan yang jauh lebih mendadak, Reddit boleh dikatakan sebuah tempat yang selamat untuk orang ramai untuk berbincang mengenai pelbagai jenis topik yang mungkin tidak sesuai untuk dibincangkan di platform-platform lain.

Keunikan Reddit hadir melalui komuniti digital “subreddit” yang membolehkan pengguna membangunkan laman dengan pelbagai jenis topik dan minat yang boleh ditadbir oleh pengguna Reddit sendiri tanpa campur-tangan daripada pihak Reddit sendiri, kecuali apabila kandungan yang diketengahkan di subreddit tersebut didapati melanggar tatacara penggunaan platform tersebut.

Sebagai pengguna jangkamasa lama platform ini, Reddit bukan sahaja salah satu platform yang saya sendiri gunakan untuk mendapatkan perkongsian berita dan maklumat harian, tetapi juga dimana saya dapat mempelajari mengenai pelbagai topik-topik baru yang menarik.

Sama seperti mana-mana platform sosial yang lain, kandungan yang akan ditunjukkan kepada anda bergantung kepada kandungan yang anda sendiri tatali dan langgani, jadi lebih banyak komuniti ilmiah yang anda sertai, anda akan melihat lebih banyak kandungan yang memenuhi citarasa anda di laman hadapan.

Mastodon

Mastodon diperkenalkan sekitar enam tahun yang lalu oleh bekas pengguna Twitter yang pada waktu tersebut nampaknya telah “melihat” masa hadapan apabila isu yang membelenggu Twitter akhirnya memakan diri platform media sosial ini.

Sama seperti Twitter, Mastodon merupakan sebuah platform media sosial yang membolehkan pengguna untuk berkongsi pendapat dan kandungan di sebuah garis masa yang boleh dibaca dan dikongsi oleh orang ramai juga. Selain daripada laman web, Mastodon juga hadir dalam bentuk aplikasi yang boleh digunakan pada platform Android dan juga iOS, sama seperti Twitter.

Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat apabila dua platform ini dibandingkan ialah Mastodon merupakan sebuah platform sumber terbuka, yang bermakna bahawa ia sangat sukar untuk diambil-alih oleh mana-mana entiti perniagaan ataupun individu.

Dalam menjadi platform sumber terbuka, Mastodon juga mempunyai “server (pelayan)” berbeza yang merumahkan komuniti-komuniti yang berbeza. Idea untuk platform sebegini ialah ia membolehkan pengguna untuk hanya melihat “toot” (seperti tweet) berkenaan topik-topik yang mahu dilihat mereka.

Ini bermakna bahawa dengan mengikuti pelayan-pelayan tertentu, anda dapat melihat kandungan yang dikongsi oleh sejumlah pengguna tanpa perlu mengikuti mana-mana individu. Sama seperti Reddit, pemantauan kandungan dalam pelayan-pelayan Mastodon juga bergantung kepada pemilik pelayan, jadi jika anda tidak menyukai bagaimana sesuatu pelayan dipantau, anda boleh meninggalkannya, dan mencuba pelayan yang lain pula.

Jumlah pengguna Mastodon dilaporkan telah meningkat dengan banyak kebelakangan ini, dianggarkan kerana ramai pengguna Twitter yang tidak menyukai perkembangan terbaru platform tersebut mahu mencari tempat teduh atas talian yang baru kerana risau puak berhaluan sayap kanan akan mendominasi platform tersebut atas alasan kebebasan bersuara.

Discord

Anda mungkin merasakan ia sedikit aneh bahawa Discord adalah salah satu platform berborak yang disenaraikan didalam artikel ini. Dan benar, Discord ialah sebuah perisian berborak yang pada mulanya dibangunkan untuk memudahkan golongan gamer berkomunikasi diantara satu sama lain dalam permainan yang dimainkan bersama-sama.

Walaupun begitu, Discord kini hadir dengan sejumlah ciri-ciri perkongsian kandungan baru, penstriman video perseorangan dan berkumpulan, dan komuniti yang pada pendapat saya paling moden walaupun apabila dibandingkan dengan platform-platform lain seperti Microsoft Teams dan Google Meet.

Discord dilihat sebagai platform komuniti digital yang cukup popular dikalangan pencipta kandungan atas talian dan juga pembangun permainan, tetapi kebelakangan ini ia juga digunakan untuk membangunkan komuniti yang mungkin tidak ada begitu banyak kaitan dengan hobi gaming.

Sama seperti Reddit dan Mastodon, komuniti-komuniti Discord dijaga oleh pemilik komuniti tersebut dan pengguna-pengguna yang dijadikan moderator. Bukan itu sahaja, komuniti yang lebih besar kadang-kala akan menerima jemputan daripada Discord sendiri untuk menguji ciri-ciri baru yang akan diperkenalkan terlebih dahulu.

Sama seperti Twitter Blue, Discord juga mempunyai langganan Discord Nitro, tetapi ia hanya diperlukan sekiranya anda mahukan fungsi-fungsi seperti penstriman pada resolusi tinggi, had saiz muat-naik fail dan penggunaan emoji yang lebih meluas.

Tumblr

Diperkenalkan pada tahun 2007, Tumblr merupakan platform microblog yang cukup popular dikalangan pengguna pada awalnya kerana ia merumahkan kandungan dewasa yang secara lazimnya sangat sukar untuk dikongsi di platform-platform yang lain.

Yahoo! kemudiannya mengambil-alih platform tersebut pada tahun 2013 pada harga $1.1 bilion, tetapi oleh kerana syarikat teknologi internet tersebut tidak tahu bagaimana untuk mengelola laman tersebut, ia telah kehilangan sejumlah besar pengguna, dimana ia kemudiannya diambil-alih oleh Automattic (ibu syarikat WordPress) pada harga kurang dari $20 juta.

Pada awal tahun ini, ia dilaporkan bahawa Tumblr telah mula kembali popular digunakan, khususnya oleh golongan dewasa muda, dengan sejumlah laporan mengatakan bahawa majoriti daripada penggunanya dilihat berumur 24 tahun dan kebawah.

Sama seperti Twitter, kandungan yang diperlihatkan di garis masa anda dikawal oleh anda sendiri, berdasarkan pengguna Tumblr yang anda sendiri ikuti. Keunikan platform ini diperlihatkan melalui bagaimana anda boleh berkongsi fikiran anda tentang kandungan yang dikongsi oleh pengguna lain dan pengguna lain juga boleh berinteraksi dengan komen yang ditinggalkan oleh anda, menjadikannya sebuah komuniti yang erat.

Lain-Lain

Selain daripada pilihan platform media sosial yang diperkatakan diatas, terdapat juga beberapa platform sosial digital lain yang boleh dipertimbangkan, seperti yang kami akan senaraikan dibawah. Ia tidak disenaraikan sebagai platform sosial utama kerana akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan ini terhad dari segi akses peranti dan juga populariti.

IRC

Bagi anda yang mungkin terlalu muda untuk mengingati ataupun tahu tentang kewujudan IRC, ia adalah perisian berborak atas-talian yang terawal, sejak era 1990an. Selain daripada komuniti atas talian yang mempunyai niche tersendiri, ia juga digunakan sebagai platform perkongsian fail dan kandungan sumber terbuka yang ditadbir sendiri oleh pengguna dan adalah diantara platform yang memperkenalkan konsep desentralisasi (decentralized) digital sebelum nama konsep tersebut digunakan.

Clubhouse

Clubhouse merupakan platform media sosial yang sangat unik kerana ia mempopularkan konsep berborak secara atas talian apabila dunia dibelenggu wabak COVID-19. Elon Musk, Bill Gates dan Barack Obama adalah diantara individu yang mempopularkan platform ini apabila ia mula diperkenalkan di peranti iOS terlebih dahulu, dan akses adalah terhad kepada jemputan melalui iMessage.

Walaupun Clubhouse memperlihatkan peningkatan populariti yang mendadak apabila ia diperkenalkan, kelewatannya dalam membuka platform tersebut ke orang ramai, khususnya pengguna platform Android bermakna bahawa mereka mula bosan menunggu, dan berhijrah kepada Twitter Spaces apabila Twitter memperkenalkan platform berborak masa nyata mereka sendiri kepada para pengguna mereka.

Komen