Carian
Google Mengesahkan Kiraan Kalori Pada Pixel Watch Adalah Tidak Tepat
November 10, 2022 Fahim Zahar

Sejak Wear OS 3.0 diperkenalkan, jam tangan pintar yang menjalankan sistem operasi ini tidak lagi boleh menggunakan aplikasi Wear OS. Sebaliknya perlu menggunakan aplikasi baharu yang ditawarkan oleh pengeluar jam.

Contohnya, Samsung Galaxy Watch4/Watch5 perlu menggunakan aplikasi Galaxy Wearable, Pixel Watch perlu menggunakan aplikasi Google Pixel Watch, Fossil pula dengan aplikasi Fossil Smartwatches dan aplikasi Wellness untuk penjejakan data kecergasan dan kesihatan.

Pada Pixel Watch, pemantauan data kesihatan perlu dilakukan melalui aplikasi Fitbit. Google kini mengesahkan yang jam tangan pintar mereka tidak akan mengira jumlah kalori dengan tepat melalui aplikasi Fitbit kerana terdapat pepijat.

Menurut Android Police, kiraan kalori terbakar pada Pixel Watch mereka adalah 50% lebih tinggi berbanding Samsung Galaxy Watch4. Antara punca perkara ini berlaku adalah kerana informasi pengguna yang dimasukkan pada Fitbit tidak sama dengan apa yang dimasukkan dalam Pixel Watch. Masalah lain adalah perisian yang tidak begitu stabil dan dengan but semula jam, masalah akan dibaiki.

Sebagai peringatan, kiraan kalori melalui jam tangan pintar tidak akan sesekali tepat 100% kerana ia adalah berasaskan data yang dimasukkan pengguna serta kiraan melalui perisian pada aplikasi dan jam.

Komen