Carian
Intel Memperkenalkan Siri Cip Pemprosesan Xeon Max Dan Data Center GPU Max Untuk Pusat Data
November 10, 2022 Nazrin

Tidak lama selepas melancarkan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake, mereka nampaknya tidak membuang masa dalam memperkenalkan siri cip pemprosesan baru untuk pusat data mereka pula, melalui cip pemprosesan Intel Xeon Max dan Intel Data Center GPU Max.

Siri cip pemprosesan Intel Xeon secara lazimnya dikenali untuk kegunaan di pusat data, dan dengan model terbaru ini, ia tidaklah begitu berbeza, cuma kali ini cip pemprosesan ini dibangunkan dengan tugasan khusus, memanfaatkan teknologi cip Sapphire Rapids yang terbaru.

Intel Xeon Max dilengkapi sehingga 56 teras fizikal dan sehingga 64GB memori HBM terbina didalamnya dan sokongan untuk teknologi penghantaran data PCIe 5.0 dan CXL 1.1 khusus untuk penggunaan pusat data. Ia juga mempunyai jumlah penggunaan kuasa 350W yang mana Intel mengatakan ialah 68 peratus lebih cekap daripada AMD Milan X.

Secara lazimnya, sebuah cip pemprosesan untuk pusat data diperkenalkan untuk pelbagai jenis tujuan, samada untuk memproses data yang banyak, dan juga pelbagai kegunaan lain seperti menyimpan data bersaiz besar dan sebagainya.

Untuk cip pemprosesan Xeon Max ini, Intel mengatakan bahawa ia dibangunkan khusus untuk tugasan seperti ramalan kaji cuaca dan juga untuk tujuan penyelidikan perubatan seperti mencari ubat untuk kanser dan sebagainya.

Untuk kad grafik Intel Data Center GPU Max pula, kad grafik ini tampil dengan 128 teras Xe-HPC dengan jumlah L2 cache sebanyak 408MB dengan 48GB memori HBM2e terbina didalamnya. Siri kad grafik Data Center Max terdiri daripada tiga model, iaitu Max Series 1100, Max Series 1350 dan Max Series 1550.

Kad grafik ini hadir dengan sokongan untuk Ray-tracing, yang mana Intel mengatakan bahawa ia akan dimanfaatkan untuk tujuan visualisasi sains yang lebih pantas. Dari segi prestasi pula, kad grafik ini dilihat tampil dengan kemampuan untuk mengolah model kewangan risiko kredit dan juga simulasi reaktor digital dengan kadar lebih pantas berbanding dengan kad grafik NVIDIA A100.

Intel mengatakan bahawa cip pemprosesan dan kad grafik Intel Xeon Max dan Data Center Max ini akan diperkenalkan di pasaran sekitar awal tahun hadapan untuk syarikat-syarikat yang memerlukannya. Cip pemprosesan Intel Xeon Max dijangka akan menguasakan adikomputer di Los Alamos National Laboratory, Universiti Kyoto, manakala Intel Data Center Max dijangka akan digunakan didalam adikomputer Aurora di Argonne National Laboratory.

Komen