Komputer Riba Yang Dikuasakan Cip Pemprosesan ARM Dijangka Terus Popular Pada 2023

Diterbitkan pada Nov 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun-tahun 2020 sehingga 2022 telah memperlihatkan penjualan dan penggunaan komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan ARM yang cukup tinggi sekali. Pada awalnya ia adalah kerana bekalan komputer riba dengan cip pemprosesan X86 yang tidak mencukupi di pasaran kerana keperluan komputer untuk bekerja dan belajar dari rumah.

Dalam tahun-tahun berikutnya, ia diperlihatkan bahawa cip pemprosesan ARM yang menguasakan komputer-komputer riba ini telahpun tampil dengan penambahbaikan yang mendadak, menjadikan komputer-komputer seperti Google Chromebook dan tablet Surface Pro yang menggunakan cip tersebut sebagai pilihan yang hampir sama baik seperti komputer-komputer riba yang menggunakan cip AMD dan Intel.

Laporan DigiTimes mengatakan bahawa pada 2023, komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan ARM akan mengambil 13.9 peratus daripada pasaran global. Ini tidak begitu mengejutkan kerana selain daripada peranti seperti Chromebook, komputer riba Apple seperti MacBook Air dan MacBook Pro juga menggunakan cip pemprosesan yang berasaskan Arm, seperti siri Apple M1 dan Apple M2.

Jualan komputer riba dilihat menurun dari tahun ke tahun pada tahun ini, tetapi laporan yang sama juga menjangkakan bahawa pengeluaran komputer riba akan stabil pada paras 200 juta unit setahun.

Kelebihan komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan ARM hadir melalui prestasinya yang dilihat hampir setaraf dengan komputer riba yang dikuasakan cip X86 dari segi tugasan produktiviti dan jangkahayat bateri yang jauh lebih panjang.

Malah, dengan pengumuman seperti Qualcomm yang dijangka akan memperkenalkan cip pemprosesan ARM untuk komputer riba dan desktop pada tahun 2024 juga memperlihatkan anjakan paradigma penggunaan cip pemprosesan tersebut yang dijangka akan memeriahkan lagi pasaran komputer riba dan desktop kelak.

komen


© Amanz / 2023 Kami