Butiran Razer Blade 18 Dengan Cip Intel Terbaru Tertiris Melalui Penanda-aras GeekBench

Diterbitkan pada Nov 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer ialah sebuah jenama aksesori dan peranti gaming yang sangat popular di kalangan penggemar permainan komputer. Siri komputer riba gaming Razer Blade mereka memperlihatkan rekaan yang kemas dan padat, disamping tampil dengan komponen-komponen dalaman yang cukup berkuasa sekali.

Baru-baru ini, butiran tentang sebuah komputer riba yang belum diumumkan lagi, iaitu Razer Blade 18 telah tertiris ke arena internet melalui ujian penanda-aras CPU atas-talian GeekBench. Model baru ini diperlihatkan di laman web tersebut, yang juga meniriskan sebuah model CPU Intel yang juga belum diumumkan, iaitu Intel Core i9-13900HX.

Razer Blade 18, melalui namanya dijangka akan hadir dengan rekaan rangka yang lebih besar berbanding model-model sebelum ini, dan juga akan tampil dengan paparan skrin bersaiz 18 inci yang mungkin mempunyai resolusi sekurang-kurangnya 4K.

Ini juga dilihat kali pertama Razer akan menggunakan cip pemprosesan model HX, yang secara lazimnya digunakan untuk mereka yang mahu mendapatkann prestasi yang terbaik daripada komputer riba mereka, dan tampil dengan ciri melewahjam terbina.

Skor penanda-aras CPU ini di GeekBench hadir dengan 2063 mata untuk ujian satu teras dan 20161 untuk ujian multi-teras, dan menempatkan Intel Core i9-13900HX ini sebagai cip pemprosesan komputer riba yang cukup berkuasa sekali.

Intel dijangka akan memperlihatkan cip pemprosesan ini di acara Consumer Electronics Expo 2023 pada awal bulan Januari ini, dimana Razer juga mungkin akan memperlihatkan komputer riba terbaru mereka di acara yang sama.

komen


© Amanz / 2022 Kami