Realme 10 Pro+ Diperlihatkan Sepenuhnya Menerusi Video Promosi Rasmi

Diterbitkan pada Nov 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Realme 10 Pro+ merupakan salah satu telefon pintar baharu Realme yang bakal diumumkan di China pada 17 November ini. Seperti namanya, ia bakal menjadi variasi yang paling premium dalam siri Realme 10, sekaligus pelbagai ciri dan fungsi menarik yang boleh diharapkan kelak.

Menjelang pelancaran rasmi, rekaan Realme 10 Pro+ kini diperlihatkan sepenuhnya dalam sebuah video promosi rasmi di Weibo. Ia menunjukkan telefon pintar ini dilengkapi panel hadapan melengkung pada kedua-dua sisi. Turut disertakan adalah saiz bezel yang kecil dan lubang di bahagian tengah skrin untuk peletakan kamera swafoto tunggal.

Seterusnya panel belakang telefon pintar pula memperlihatkan kemasan cerun dengan warna yang pelbagai. Menurut Realme, ia diinspirasikan daripada pembiasan cahaya daripada prisma dan kerlipan bintang yang mampu menghasilkan rupa tiga dimensi. Turut kelihatan adalah dua modul kamera berbentuk bulat yang disusun secara menegak seumpama yang boleh ditemui pada Honor 50 dan Honor 70 sebelum ini.

Sistem tri-kamera digunakan padanya dengan peletakan sensor yang berbeza. Di mana, bahagian atas menempatkan satu sensor besar, sementara itu dua lagi di bahagian bahawah. Butang kuasa dan laras audio di sebelah sisi kanan, sementara itu port USB-C boleh ditemui pada sisi bawah telefon pintar.

Menurut jangkaan awal, Realme 10 Pro + akan dilangkapi cip MediaTek Dimensity 1080 dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Bukan itu sahaja, skrin pula sejenis OLED dengan kadar segar semula 120Hz dan ciri dimming berfrekuensi tinggi.

Sumber – Realme Weibo

komen


© Amanz / 2022 Kami