MediaTek Memindahkan Sejumlah Rantaian Bekalan Mereka Secara Beransur Dari Taiwan

Diterbitkan pada Nov 14, 2022. oleh .

MediaTek baru-baru ini telah melancarkan sejumlah cip pemprosesan baru untuk pelbagai jenis peranti dan juga kegunaan. Dengan pelancaran cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9000 yang dilancarkan baru-baru ini juga, syarikat pembuat cip pemprosesan tersebut dilihat setaraf dengan Qualcomm dari segi pengeluaran cip pemprosesan peranti pintar yang berkualiti tinggi.

Terkini, laporan daripada Reuters mengatakan bahawa MediaTek sudahpun mula memindahkan rantaian bekalan mereka secara beransur dari Taiwan ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan juga rantau Eropah.

Ini dikatakan kerana isu perbalahan sekatan ekonomi diantara Amerika Syarikat dan China, yang dirisaui akan mendatangkan kesan yang mudarat terhadap negara-negara berdekatan, khususnya Taiwan.

Bercakap kepada pihak Reuters sewaktu acara pelancaran cip pemprosesan baru mereka minggu lepas, MediaTek mengesahkan bahawa walaupun cip-cip pemprosesan terbaru dan paling berkuasa mereka dibangunkan oleh TSMC di Taiwan, sejumlah pengeluaran cip pemprosesan peranti pintar mereka sudahpun dipindahkan ke pembangun cip lain seperti Global Foundries yang mempunyai kilang di Amerika Syarikat dan Singapura.

Dalam pada itu, MediaTek juga telah menandatangani perjanjian bersama dengan Intel yang akan memanfaatkan kilang Intel 16 mereka untuk mengilang cip-cip pemprosesan untuk modem WiFi dan juga televisyen pintar menjelang 2024 kelak.

Ini bukanlah bermakna bahawa MediaTek akan berpindah sepenuhnya dari Taiwan. Negara tersebut masih lagi dilihat sebagai lokasi paling penting untuk pembangunan cip pemprosesan terbaru dan paling berkuasa di pasaran sekarang.

komen


© Amanz / 2023 Kami