Samsung Galaxy A54 Sekali Lagi Tertiris – Bakal Dilengkapi Sistem Tri-Kamera

Diterbitkan pada Nov 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Awal tahun ini, Samsung Galaxy A53 telah diperkenalkan sebagai kesinambungan yang dinantikan. Melaluinya penekanan yang lebih diberikan kepada sokongan kemaskini perisian lebih baik. Di Malaysia, ia kini boleh dimiliki pada RM1699 dengan beberapa pilihan warna seperti Awesomeblue, Awesomeblack, Awesomewhite dan Awesomepeach.

Mengulas lebih lanjut, variasi kemaskini untuk telefon pintar ini didapati tertiris sekali lagi. Kali ini, ia ditemui menerusi ciapan oleh Steve Hemmerstoffer/OnLeaks yang berkongsi beberapa imej pengolokan. Ia menunjukkan sebuah Samsung Galaxy A54 5G dalam kemasan serba biru lembut yang menghiasi keseluruhan tubuh peranti.

Turut disertakan adalah tiga modul kamera dalam kedudukan berbeza dan disusun secara menegak. Terdapat juga LED Flash disertakan, penjenamaan Samsung yang diletakkan pada bahagian bawah. Melengkapinya juga adalah skrin berlubang kecil untuk peletakan kamera swafoto tunggal di panel hadapan. Saiz bezel juga dilihat agak tebal khususnya bahagian dagu peranti.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Sementara itu, port USB-C dan pembesar suara pula di bahagian bawah. Telefon pintar ini juga tidak didatangkan dengan bicu audio 3.5mm, di mana hal yang sama turut berlaku pada model pendahulunya, Galaxy A53 5G. Tiada tarikh pelancaran rasmi yang didedahkan setakat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami