Cari @ Amanz

Adakah anda masih tahu yang Sony masih aktif mengeluarkan telefon pintar? Jika ya, Xperia 5 IV adalah peranti mercu kompak serba lengkap mereka. Peranti sudah memasuki makmal Amanz untuk beberapa minggu dan ia adalah peranti harian saya sepanjang ujian. Aneh sekali, selepas bertahun saya tidak menggunakan peranti jenama Sony – saya boleh katakan peranti ini sedap digunakan dan memberikan penghalaman penggunaan yang menarik. Cuma adakah harga RM4,899 berbaloi untuk sebuah peranti mercu kompak yang lengkap dengan semua port sambungan penting?

Spesifikasi Dan Rekaan

Sony Xperia 5 IV
Skrin6.1″ OLED FHD+ (1080×2520)
120Hz, HDR10
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama12MP, f/1.7, OIS (Utama)
12MP, f/2.4 (Telefoto)
12MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar)
Zeiss T* Coating, AI, Super Res Zoom,
Kamera Swafoto12MP, f/2.0
HDR, penstabilan 5-paksi
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 30W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
5G
NFCAda
AudioStereo
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanTerbina di butang kuasa
Harga JualanRM 4,899 (8/256 GB)

Sony Xperia 5 IV adalah sebuah peranti mercu yang kompak. Tetapi tubuh peranti adalah panjang mengingatkan saya kepada penggunaan peranti Samsung Galaxy Z Flip4. Ia tirus, selesa dipegang dan mengejutkan amat mudah untuk dikendalikan. Peranti juga selesa dipegang dengan satu tangan dan dengan ciri Side Sense ia mudah untuk digunakan dengan satu tangan.

Semua butang fizikal berada di sisi peranti, seperti butang suara, butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan juga butang pengatup kamera fizikal. Butang-butang yang ada pada peranti ini rasa lembut dan sedikit ketat, menjadikan ia sedikit sukar untuk digunakan. Pengimbas cap jari walau bagaimanapun agak pantas dan tiada masalah digunakan walaupun jari basah.

Warna hitam kusam pada peranti ini nampak menawan, tetapi ia mudah menangkap kotoran cap jari dan juga mudah calar. Xperia 5 IV tidak mempunyai slot kad SIM yang perlu dibuka dengan pin SIM, tetapi menggunakan jenis dengan penutup dan perlu ditarik keluar. Ia menyokong dwi-SIM 5G ataupun satu SIM dengan kad mikroSD. Di atas peranti terdapat lubang mikrofon dan port bicu audio 3.5mm, sisi kiri tiada apa-apa, di bawah pula adalah slot kad SIM, port USB-C, dan satu lagi lubang mikrofon.

Panel belakang peranti kelihatan minimalistik, dengan bonggol kamera bujur memanjang di sisi atas bersama dengan lampu LED flash. Logo NFC juga jelas kelihatan di tengah atas dan logo XPERIA di tengah bawah.

Tidak dinafikan, rekaan peranti ini bukanlah yang terbaik kerana menggunakan rekaan yang kuno dan mengitar semula rekaan sama sejak Xperia 5 I lagi. Tetapi saya masih boleh memberi pujian kepada Sony kerana berani menggunakan rekaan skrin dengan dagu dan dahi tebal yang bermakna dan bukan sekadar hiasan. Di dagu dan dahi skrin terdapat kekisi speaker untuk audio stereo dan tambahan pada dahi adalah untuk kamera swafoto.

Skrin 6.1-inci OLED dengan resolusi FHD+ (1080×2520) serta kadar segar semula 120Hz yang menyokong paparan HDR10 ini menggunakan bezel sisi yang nipis. Ia adalah skrin yang pantas dan lancar serta kurang masalah. Nisbah paparan adalah 21:9 yang amat sesuai untuk tontonan video-video terkini di YouTube dan Netflix.

Kualiti paparan berani saya katakan adalah antara yang terbaik. Saiz skrin yang kecil molek dan kurus ini mempunyai warna yang tajam, butiran yang jelas, kecerahan yang sangat baik dan mampu memaparkan kandungan HDR dengan baik sekali. Baik aplikasi Netflix, Prime Video atau YouTube semuanya beroperasi dengan baik dan lancar. Sepanjang penggunaan peranti ini, segala filem dan siri TV yang saya terlepas saya tonton pada peranti ini sahaja dan tidak lagi membuka iPad atau iPhone.

Penggunaan Dan Perisian

Peranti Sony Xperia 5 IV menjalankan sistem operasi Xperia UI yang amat dekat dengan Android asli. Ia mudah digunakan, ringkas dan tidak menyebabkan saya sakit kepala kerana keliru mencari tetapan tertentu. Xperia UI boleh dikatakan terlampau asas, sehinggakan tiada aplikasi galeri terbina hanya menggunakan Google Photos dan turut tiada pengurus fail – kerana menggunakan aplikasi Google Files sahaja. Antaramuka juga boleh dikatakan dekat dengan peranti Pixel yang menjalankan Android 12. Walaupun Sony telah mengedarkan kemas kini Android 13 untuk peranti ini, unit yang saya uji masih belum menerimanya sehingga saat artikel ini ditulis.

Xperia UI memberikan saya pengalaman penggunaan yang cukup baik. Saya yang menggemari Android asli sudah lama tidak menggunakan sistem operasi seperti ini. Kali terakhir adalah pada Pixel 6. Antaramuka juga sedap mata memandang, ikon-ikon juga tidak berwarna-warni dan ceria, semuanya ringkas dan mesra pengguna.

Tidak banyak aplikasi gendut terpasang, kecuali aplikasi Sony tersendiri seperti Cinema Pro, Photo Pro, Video Pro dan Music Pro dan aplikasi memainkan muzik tersendiri. Ikon-ikon tetapan seperti WiFi, data mudah alih dan beberapa lagi masih menggunakan rekaan Xperia yang sedia ada.

Sony turut menawarkan ciri Exterior Monitor untuk menyambungkan peranti terus ke kamera nircermin Sony atau monitor luaran untuk tujuan pemantauan penggunaan kamera atau menjadi pemidang tilik ketika rakaman video.

Xperia UI mungkin akan rasa bosan bagi sesetengah pengguna kerana ia begitu kosong dan tidak menawarkan banyak pilihan kustomasi seperti peranti keluaran China atau Korea. Tetapi ciri kustomasi Android asli itu sedia terbina memberikan pengguna sedikit kebebasan memperibadikan peranti ini mengikut citarasa masing-masing.

Perkara yang menjadikan Sony Xperia 5 IV unik dengan Xperia UI adalah ciri seperti mod STAMINA untuk penjimatan bateri, ciri perkongsian bateri dengan pengecasan nirwayar berbalik, mengubah kualiti paparan daripada yang biasa atau mod HDR atau mod Creator yang memastikan nilai warna HDR 10-bit dapat dipaparkan dengan jitu.

Sistem kecerahan skrin automatik pada peranti ini juga cukup bijak. Xperia UI turut menyertakan ciri kustomasi tersendiri untuk mengubah rekaan AOD, paparan jam serta penggunaan multi-tugasan yang baik untuk peranti skrin panjang melalui Side Sense.

Pengalaman bermain permua pada peranti ini agak hebat walaupun hanya mempunyai memori 8GB RAM. Bermain Asphalt 9 tiada masalah dan berjalan dengan sangat baik dengan prestasi tinggi tanpa menyebabkan peranti mudah panas atau berlaku lengah masa. Tetapi jika menjalankan permua dengan grafik lebih tinggi seperti PUBG Mobile atau Battlefield Mobile, ia akan terus memanas walaupun permua belum bermula lagi.

Masalah pemanasan rawak turut boleh berlaku jika peranti sedang aktif menggunakan aplikasi media sosial atau menstrim video, walaupun berada dalam bilik yang sejuk.

Penanda Aras

Walaupun peranti ini mengalami masalah pemanasan yang teruk, ia masih lagi mempunyai prestasi yang dahsyat. Ia hanya panas apabila banyak aplikasi berjalan di latar, menggunakan kamera atau tersimpan dalam beg pada jangka masa yang panjang sambil notifikasi masuk tanpa henti.

Dengan rasa ingin tahu, kenapa peranti ini masih beroperasi dengan baik walaupun sudah memanas – saya jalankan ujian penanda aras melalui AnTuTu 3D, Geekbench 5 dan 3DMark.

Sony Xperia 5 IV mampu menerima skor yang baik iaitu 935,847 pada AnTuTu 3D, 1,182/3,615 pada Geekbench 5 dan 2,583 pada 3DMark. Saya bandingkan peranti ini dengan Samsung Galaxy Z Flip4 5G (Snapdragon 8+ Gen 1) dan iPhone 14 Plus (Apple A15 Bionic) antara peranti yang saya rasakan mempunyai prestasi lebih kurang sama. Berikut adalah perbandingan skor;

AnTuTu 3D
  • Xperia 5 IV: 935,847
  • Galaxy Z Flip4: 804,731 
  • iPhone 14 Plus: 798,843 
Geekbench 5
  • Xperia 5 IV: 1,182/3,615
  • Galaxy Z Flip4: 1,282/3,686 
  • iPhone 14 Plus: 1,713/4,625 
3DMark Wild Life Extreme
  • Xperia 5 IV: 2,583
  • Galaxy Z Flip4: 2,867
  • iPhone 14 Plus: 2,429

Xperia 5 IV mempunyai skor AnTuTu 3D yang paling tinggi, tetapi ujian lain dilihat biasa sahaja. Dalam penggunaan, walaupun ia menggunakan memori 8GB RAM masalah lengah masa jarang berlaku. Tetapi aplikasi akan mengambil masa yang sedikit lama untuk memuat kerana tidak mempunyai memori yang banyak untuk pengurusan aplikasi yang berjalan di latar.

Telefoni Dan GPS

Sony Xperia 5 IV mempunyai sambungan Internet yang sangat lemah, baik dengan data mudah alih atau dengan WiFi. Sepanjang beberapa minggu penggunaan, jarang sekali saya melihat bar isyarat 4G saya mencapai tahap yang penuh. Isu ini tidak berlaku pada peranti Android lain yang kami ulasa menggunakan syarikat telko yang sama.

Kemudian, sambungan 4G yang saya terima adalah sangat perlahan dan kerap Internet terputus – begitu juga dengan sambungan WiFi. 5G lagilah, tidak pernah pun saya lihat ia terpapar pada peranti ini kerana sehingga kini ia belum disokong oleh DNB. Masih tiada satupun peranti Sony disokong oleh DNB pada waktu ini.

Untuk panggilan telefon, ia tidak menyokong VoWiFi tetapi hanya VoLTE. Mikrofon agak jelas, suara terang dan lantang, tetapi rekaan panjang kurang selesa untuk perbualan jangka masa panjang.

Disebabkan sambungan Internet tidak begitu baik, GPS pada peranti juga kurang bagus. Ia mengambil masa agak lama untuk mengunci lokasi, berbanding dengan peranti mercu Android lain. Tetapi selepas itu, arahan selok-belok semua berfungsi dengan baik.

Kamera

Sony Xperia 5 IV turut terkenal sebagai peranti mercu kompak yang memfokuskan kepada fotografi. Aplikasi kamera yang digunakan mirip dengan antaramuka kamera Sony sendiri. Malah peranti ini turut boleh dijadikan sebagai skrin tambahan kepada kamera Sony, menjadikannya pelengkap ekosistem produk Sony. Tetapi adakah ia satu peranti yang baik untuk fotografi?

Pertama sekali, perkara paling menarik adalah butang pengatup yang terbina pada sisi yang memudahkan proses fokus dan mengambil gambar. Ciri ini sudah disertakan pada peranti Xperia sejak dahulu lagi dan menjadikannya unik.

Mod auto atau Basic pada peranti ini memberikan pengalaman penggunaan seakan peranti Android biasa, menawarkan mod-mod mudah seperti Low Light, Gourmet, Backlight Portrait dan banyak lagi. Tetapi sayang sekali, hasil gambar dalam mod ini adalah seakan peranti Android kelas pertengahan asas sahaja. Ia terlampau terang, lembut, tidak mempunyai warna yang tajam dan tidak memelihara butiran yang bagus tidak kira apa jua lensa yang digunakan.

Akan tetapi, lensa telefoto menyokong mod AI Super Resolution Zoom yang membolehkan penggunaan zum yang lancar bertukar antara sensor dan tidak menyebabkan paparan imej pada viewfinder bergoyang.

Imej yang dipaparkan pada viewfinder juga bukan gambar akhir, sebaliknya gambar yang belum melalui pasca-proses. Hanya selepas gambar dilihat dalam galeri, barulah ada warna yang menarik, nilai kontras lebih baik dan sedap mata memandang.

Xperia 5 IV turut menawarkan penggunaan Pro seakan kamera nircermin Sony. Mereka yang tidak pernah menggunakan kamera Sony pasti akan rasa keliru dan buntu untuk penggunaannya. Malah saya sendiri terpaksa rujuk juru kamera Amanz yang pakar dengan kamera Sony, jika tidak saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan.

Dengan penggunaan mod Pro, barulah hasil imej nampak memberangsangkan kerana kita tahu apa yang kita mahukan. Warna yang lebih baik, butiran yang lebih terpelihara serta fokus yang lebih memuaskan. Peranti ini seakan memaksa pengguna menggunakan mod Pro, jika inginkan hasil yang bagus.

Kamera peranti ini juga mempunyai masalah, di mana dalam penggunaan beberapa minit sahaja peranti mula memanas. Malah rakam video tidak sampai lima minit pun, suhu peranti yang sangat panas membuatkan ia bahaya untuk dipegang sehinggakan ada amaran ia boleh menyebabkan risiko terbakar. Bukan itu sahaja, butang pengatup digital juga agak perlahan dan sukar untuk mengambil gambar dengan pantas.

Bateri

Bateri 5000mAh pada peranti ini tidak cukup hebat, kerana untuk penggunaan ringan dengan skrin mod Standard boleh bertahan sekitar 6-7 jam SOT sahaja, sementara dengan mod Creator untuk paparan HDR hanya boleh bertahan sekitar 5-6 jam SOT.

Dengan penggunaan yang lebih ekstrem, seperti menggunakan jam tangan pintar bersama, menambat TWS, bermain permua, menggunakan kamera dan menstrim video serta muzik pada jangka masa panjang – peranti hanya boleh bertahan sekitar 4 jam SOT sahaja. Jika ini adalah peranti mercu pesaing, skrin HDR tiada masalah pun beroperasi mencapai 6-7 jam dengan sekali pengecasan.

Kuasa pengecasan pula hanyalah 30W dengan teknologi PD, jadi ia sebenarnya agak perlahan dan penat untuk menunggu. Sudahlah pengecasan perlahan, bateri tidak tahan, perkara ini membuatkan saya kecewa dengan peranti Sony yang berharga hampir RM5000 ini.

Audio

Speaker stereo adalah sistem audio yang digunakan pada peranti ini. Sony memilih rekaan yang sudah lama, iaitu kekisi speaker pada dahi dan dagu peranti. Walaupun rekaan yang lama, ia adalah satu pilihan yang bijak kerana ia memberikan audio yang seimbang, cukup kuat dan amat sedap. Mendengar muzik, menonton video, sangat sedap dan memuaskan.

Kualiti audio juga hebat dengan bass yang cukup dalam, vokal yang jelas, serta seakan mendengar menggunakan speaker berkualiti tinggi. Sony turut menyertakan port bicu audio 3.5mm untuk menggunakan set fon telinga berwayar jika speaker peranti masih tidak memuaskan.

Xperia 5 IV turut mempunyai ciri mengoptimasikan audio yang baik, seperti sokongan Dolby Atmos, menyokong 360 Reality Audio, penawaran penggunaan 360 Upmix, dan mengubah muzik format asas kepada kualiti tinggi dengan teknologi DSEE seperti yang ada pada aksesori audio mereka.

Sony juga tidak memberikan sebarang kabel pengecas atau pengecas menjadikannya pengeluar yang paling lokek memberi aksesori dengan setiap pembelian.

Pesaing

Sony Xperia 5 IVSamsung Galaxy Z Flip4 5GiPhone 14 Plus
6.1″ OLED, 1080 x 2520 FHD+, 120Hz, HDR10Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 1.9″ Super AMOLED
6.7-inci, Super Retina XDR OLED, 2532 x 1170, HDR, 60Hz
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4×1.80 GHz Cortex
A15 Bionic (5nm)
2x 3.23 GHz Avalanche
4x 1.82 GHz Blizzard
Adreno 730Adreno 730Apple GPU 5-Teras
8 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
8 GB RAM LPDDR5
128/256/512 GB UFS 3.1
6 GB RAM LPDDR5
128/256/512 GB NVMe
12MP, f/1.7, (utama), OIS
12MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
12MP, f/2.4 (telefoto)
12MP, f/1.8 (utama), OIS
12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar)
12MP, f/1.5, sensor‑shift, OIS (Utama)
12MP, f/2.4, 2x zum optikal (Sudut ultra-lebar)
12MP, f/2.010MP, f/2.412MP, f/1.9
Ada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5,000 mAh
Pengecasan pantas 30W
3,700 mAh
Pengecasan pantas 25W
4,323 mAh
Pengecasan pantas 20W
RM 4899 (8/256 GB)RM4,099 (8/128 GB)
RM4,299 (8/256 GB)
RM4,899 (Bespoke 8/512 GB)
RM4699 (128GB)
RM5199 (256GB)
RM6199
 (512GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Sony Xperia 5 IV
  • 1x Manual

Kesimpulan

Sony Xperia 5 IV adalah sebuah peranti yang baik sebenarnya, tetapi ia bukan untuk semua orang. Walaupun ia menawarkan prestasi yang cukup mantap, banyak penggunaan pada peranti dikhususkan untuk pengguna kamera Sony. Tetapi jika anda tidak kisah pada harga yang mahal, peranti ini menawarkan skrin yang cukup mantap, audio yang hebat, perisian yang ringkas seakan Android asli dan memberikan satu pengalaman penggunaan yang berbeza dengan peranti Android lain.

Harga jualan RM4,899 adalah harga yang amat tinggi untuk peranti yang dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 dan dijual pada hujung tahun 2022. Banyak lagi peranti berkuasa dan lebih hebat pada harga lebih murah yang pasti akan memberikan pengalaman penggunaan lebih memuaskan. Cuma menggunakan Xperia 5 IV ini membuatkan saya yakin yang Sony boleh mengeluarkan sebuah peranti yang baik.

Pro

  • Rekaan yang cukup premium dan selesa untuk dikendalikan.
  • Skrin yang cantik, dan sesuai untuk menonton filem-filem moden.
  • Prestasi yang baik, pantas dan lancar.
  • Kualiti speaker dengan audio yang sangat memuaskan dan bicu 3.5mm.
  • Perisian yang ringkas seakan Android asli.
  • Peranti serba lengkap dengan pelbagai port sambungan.

Kontra

  • Kamera auto yang lemah, hanya bagus untuk penggunaan kawalan manual.
  • Peranti mudah memanas sehingga bahaya untuk dipegang.
  • Bateri yang lemah dan tiada pengecasan yang cukup pantas.
  • Kabel pengecas langsung tidak diberikan.
  • Harga jualan yang agak mahal berbanding pesaing.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd