Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 Kini Rasmi – CPU 35% Lebih Pantas, Audio Spatial, Dan WiFi 7

Diterbitkan pada Nov 16, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Cip mercu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 telah dilancarkan secara rasmi di acara Snapdragon Summit yang berlangsung di Hawaii hari ini. Cip mercu ini menggantikan siri Snapdragon 8 Gen 1 sebagai cip yang paling berkuasa ditawarkan oleh Qualcomm untuk digunakan pada peranti Android.

Menurut Qualcomm, Snapdragon 8 Gen 2 yang mengekalkan penggunaan teknologi 4nm memberikan peningkatan CPU sehingga 35%, peningkatan GPU sehingga 25% dan pada waktu yang sama memberikan penjimatan penggunaan kuasa sehingga 40% berbanding cip generasi terdahulu.

Konfigurasi baharu 1+4+3 teras CPU digunakan dengan satu teras CPU 1x Cortex-X3 3.2GHz, 4x Cortex-A715 2.8GHz dan 3x Cortex-A510 2.0 GHz. Ini dipadankan pula dengan GPU terkini Adreno yang menyokong mod gaming dalam HDR dan juga mempunyai keupayaan Ray Tracing.

Menerusi cip ISP Qualcomm Spectra yang terkini pula sensor kamera sehingga 200MP boleh digunakan atau tri-kamera 36MP secara serentak. Qualcomm mengatakan ISP telah dioptimasikan untuk menyokong sensor terkini Samsung dan Sony yang akan datang. Kemampuan rakaman video masih lagi 8K 30p atau 4K 120p dengan sokongan HDR.

Snapdragon 8 Gen 2 juga akhirnya membawakan sokongan codec AV1 yang telah lama disokong cip MediaTek. Ia mengurangkan penggunaan data ketika penstriman tetapi masih mengekalkan kualiti video. Dari segi kemampuan audionya pula, audio spatial dinamik boleh dinikmati dengan kemampuan mengesan pergerakan kepala serta sistem ANC yang terkini.

Rangkaian 5G boleh dinikmati dan buat pertama kalinya juga siri Snapdragon menyokong WiFi 7 yang membolehkan kelajuan mencecah 5.8 Gbps menerusi modem Snapdragon X70 5G. Tidak berakhir di sini cip turut menyokong skrin pada resolusi 4K 60p atau QHD+ 144Hz. Memori pula adalah sehingga 16GB LPDRR5x

Snapdragon 8 Gen 2 akan mula digunakan pada peranti yang akan dikeluarkan seawal Disember ini. Setakat ini ASUS Republic of Gamers, Honor, iQoo, Motorola, Nubia, OnePlus, Oppo, Redmagic, Redmi, SHARP, Sony Corporation, Vivo, Xiaomi, Xingji/Meizu, dan ZTE adalah pengeluar-pengeluar terawal yang akan menggunakan cip ini pada peranti pintar mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami