Cip Snapdragon AR2 Gen 1 Diumumkan Untuk Set Kepala AR Dengan Sokongan 9 Kamera

Diterbitkan pada Nov 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di acara Snapdragon Summit hari ini cip Snapdragon AR2 Gen 1 pula telah diumumkan sebagai cip pertama direka sepenuhnya untuk set kepala realiti terimbuh (AR). Berbeza dengan siri cip Snapdragon XR yang dilancarkan sebelum ini, Snapdragon AR2 Gen 1 menyasarkan penggunaan pada set kepala yang ringan untuk dipakai sepanjang hari.

Oleh itu ia mempunyai saiz fizikal yang 40% lebih kecil dan pengurangan penggunaan tenaga sehingga 50% dengan ia di bawah 1W ketika digunakan. Pada waktu yang sama masih menawarkan prestasi kecerdasan buatan (AI) 2.5x lebih baik berbanding Snapdragon XR2.

Lebih menarik ialah ia terdiri daripada beberapa komponen cip rangkaian dan cip pemproses bersama digunakan dengan cip utama. Menerusi ciri ini set kepala yang lebih nipis dapat dihasilkan kerana komponen tidak hanya tertumpu pada tangkai cermin mata pintar misalnya.

Snapdragon AR2 Gen 1 menyokong sehingga sembilan kamera untuk pengesanan lokasi, tangan dan memek muka pemakai. Pengesanan kedudukan 6DoF juga disokong untuk menyelami dunia AR secara lebih menyeluruh.

Ia turut boleh memindahkan keperluan memproses yang lebih rumit kepada peranti lain yang menggunakan cip Snapdragon dalam bentuk telefon pintar, tablet dan PC. Satu lagi ciri menarik ialah sokongan foveated rendering yang hanya memberikan tumpuan kepada arah pandangan mata pemakai bagi mengurangkan keperluan memproses grafik tinggi sepanjang masa.

Seperti Snapdragon 8 Gen 2, AR2 Gen 1 turut menyokong sistem Qualcomm FastConnect 7800 yang membolehkan ia ditambat kepada rangkaian WiFi 7 bagi mengurangkan sela masa serta memberikan pengalaman internet pantas yang diperlukan untuk keperluan AR.

Cip kini sedang digunakan dalam beberapa produk kaca mata AR yang dibangunkan oleh Lenovo, LG, Nreal, Oppo, Pico, QONOQ, Rokid, Sharp, TCL, Tencent, Vuzix dan Xiaomi.

komen


© Amanz / 2022 Kami