Oppo A1 Pro 5G secara rasminya dilancarkan di China. Ia dilengkapi cip kelas pertengahan iaitu Snapdragon 695 dan kamera utama 108MP yang menjadi antara titik utama pada telefon pintar. Di China, harga jualan adalah bermula RMB1799 (RM1147) (8GB/128GB), RMB1999 (~RM1275) (8GB/256GB) dan RMB2299 (~RM1466) (12GB/256GB).
Untuk lebih khusus, skrin OLED FHD sebesar 6.7-inci digunakan dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM (LPDDR4x) dan storan dalaman mencapai 256GB (UFS2.2). Kapasiti bateri pula sebesar 4800mAh dengan sistem pengecasan pantas 67W.
Turut disertakan adalah kamera utama 108MP + 2MP (potret) dan kamera swafoto pula 16MP. Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari di skrin, sokongan NFC dan port USB-C. Terdapat tiga pilihan warna yang disediakan seperti Moon Sea Black, Dawn Gold dan Morning Rain Blue.