TP-Link Memperkenalkan Produk-Produk Terbaru Dengan Sokongan Rangkaian WiFi 7

Diterbitkan pada Nov 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Teknologi WiFi 7 telah diperkenalkan baru-baru ini yang memperlihatkan kebolehan sebuah penghala untuk memberikan peranti kelajuan internet sepantas 30-40Gb/s melalui sambungan nirwayar tersebut.

TP-Link dilihat sebagai jenama pertama yang memperkenalkan penghala dengan sokongan untuk rangkaian WiFi tersebut melalui tiga model penghala WiFi baru mereka, termasuklah TP-Link Archer BE900, TP-Link Archer GE800 dan TP-Link Deco BE95.

TP-Link Archer BE900 dilihat sebagai penghala yang lebih unik dari biasa kerana ia menggunakan antena dalaman dan bukan luaran seperti banyak penghala WiFi yang lain. Sebagai sebuah penghala WiFi 7, penghala ini menyokong kelajuan sepantas 24Gbps, dan menyokong frekuensi quad-band, termasuklah sokongan dua frekuensi 5GHz dan frekuensi 6GHz yang baru diperkenalkan melalui sambungan WiFi 6E.

TP-Link Archer GE800 pula ialah penghala WiFi 7 untuk golongan gamer yang mana ia tampil dengan kelajuan WiFi 18Gbps dan akan hadir dengan dua palam 10G untuk sambungan internet berwayar yang benar-benar pantas. Ia juga hadir dengan sistem yang memastikan lengah dan sela masa rangkaian adalah cukup rendah untuk membolehkan pemain permainan atas-talian untuk mendapatkan kelajuan input yang pantas sekali.

Bagi mereka yang mahu memastikan rumah yang didiami mempunyai rangkaian yang merangkumi keseluruhan rumah ataupun pejabat, TP-Link Deco BE95 ialah sistem penghala WiFi 7 Mesh yang membolehkan dua atau lebih penghala digunakan untuk memastikan rangkaian WiFi merangkumi sesuatu kawasan secara penuh.

Deco BE95 hadir dengan kelajuan 33Gbps dan hadir dengan sokongan untuk empat jenis frekuensi, dimana dua daripadanya ialah 6GHz. Salah satu frekuensi ini boleh digunakan untuk tujuan rangkaian utama, dan boleh disambungkan kepada peranti yang tidak menyokong WiFi 7 ataupun frekuensi 6GHz untuk sambungan internet yang pantas.

Sama seperti penghala sebelum ini, ia juga hadir dengan palam RJ-45 10Gbps untuk membolehkan pengguna memanfaatkan rangkaian internet pantas menggunakan sambungan berwayar.

Kesemua peranti TP-Link ini akan diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih sekitar bulan Januari 2023.

komen


© Amanz / 2022 Kami