Realme 10 Pro dan Realme 10 Pro+ akhirnya dilancarkan secara rasminya di China, sebentar tadi. Ia menjadi model terkini di bawah siri berkenaan – sekaligus menyertai Realme 10 4G dan Realme 10 5G yang dilancarkan sebelum ini.
Realme 10 Pro+ dilengkapi dengan skrin melengkung sejenis OLED dengan saiz 6.7-inci FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 1080, memori sehingga 12GB RAM (LPDDR4x) dan storan dalaman mencapai 256GB. Kapasiti bateri pula 5000mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 67W.
Sistem tri-kamera utama digunakan dengan tetapan 108MP + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro). Sementara itu, kamera swafoto pula sebesar 16MP. Lain-lain spesifikasi termasuk rangkaian 5G terbina, NFC, port sambungan USB-C, pengimbas cap jari di skrin dan menjalankan RealmeUI 4.0 berasaskan Android 13.
Realme 10 Pro pula menggunakan skrin LCD sebesar 6.7-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Tiada sokongan skrin melengkung, sebaliknya ianya sejenis rata dengan tubuh berkotak. Cip Snapdragon 695 digunakan sebagai tunjang utama dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Bateri adalah 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas 33W. Kemudian turut diikuti dengan sistem dwi-kamera utama 108MP + 2MP (potret) dan kamera swafoto pula 16MP. Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari sisi, sokongan 5G terbina, port sambungan USB-C, pembesar suara stereo dan menjalankan Realme 4.0 berasaskan Android 13.
Harga jualan Realme 10 Pro bermula RMB1599 (~RM1021) (8GB/256GB) dan RMB1899 (~RM1,213) (12GB/256GB). Sementara itu, Realme 10 Pro+ pula dijual bermula RMB1699 (~RM1085) (8GB/128GB), RMB1999 (~RM1277) (8GB/256GB) dan RMB2299 (~RM1468) (12GB/256GB).