Facebook nampaknya semakin fokus kepada privasi pengguna selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam memastikan segala informasi pengguna adalah selamat. Dengan fokus terhadap privasi, platform media sosial sekarang akan mengehadkan maklumat peribadi yang boleh dikongsi kepada umum.
Di Facebook sehingga hari ini, ia masih memaparkan Kefahaman Agama, Alamat, Berminat Dengan, dan Pandang Politik. Bermula 1 Disember nanti, keempat-empat maklumat peribadi ini akan dibuang dan profil pengguna Facebook tidak lagi akan memaparkannya.
Menurut wakil Facebook yang memberitahu perubahan ini kepada TechCrunch, pembuangan penyenaraian maklumat peribadi ini adalah untuk Facebook lebih mudah digunakan oleh orang ramai. Ia juga adalah untuk memastikan profil pengguna tidak akan memaparkan lebih maklumat peribadi daripada apa yang patut sahaja.
Walau bagaimanapun, menurut Facebook pengguna masih bebas untuk berkongsi pandangan masing-masing dan minat masing-masing di bahagian lain di platform media sosial ini seperti di siaran, Stories atau Reels.