Fujifilm Melancarkan Pencetak Instax Square Link Baharu

Diterbitkan pada Nov 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Fujifilm telah melancarkan pencetak mudah alih INSTAX SQUARE Link secara rasmi di Malaysia. Menekankan konsep menyimpan kenangan dan momen penting dalam bentuk gambar polaroid, SQUARE Link ini dilengkapi dengan pelbagai ciri yang membolehkan pengguna untuk bereksperimen dan menyerlahkan sisi kreatif dengan setiap foto yang ingin dicetak. 

Ciri utama yang diketengahkan di dalam pencetak ini adalah fungsi AR Print, memberikan kesan AR seperti teks dan rekaan doodle kepada cetakan INSTAX anda. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh menghias foto dengan mesej tertentu, serta berkongsi foto tersebut dengan rakan secara jarak jauh melalui INSTAX Connect. Ciri ini boleh dikatakan unik dan menarik, kerana ia membenarkan rakan anda membalas mesej, sekaligus mewujudkan hubungan sebenar antara satu sama lain. 

Ciri tambahan lain juga turut tersedia di dalam SQUARE Link ini, dimana  foto yang dicetak boleh dipertingkatkan kualitinya melalui dua mod tersedia iaitu Natural dan Rich Mode. Cetakan foto anda juga boleh disunting menjadi sebuah kolaj dan ditambah lakaran sebelum dicetak. Namun begitu, kesemua ciri ini hanya terpakai apabila anda memuat turun aplikasi khas percuma Square Link, melalui Google App Store dan Apple Store.

Didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Ash White dan Midnight Green, pencetak telefon pintar ini juga turut menyokong pelbagai format foto termasuk JPEG, PNG, HEIF dan DNG. Sekiranya anda berminat, INSTAX SQUARE Link yang berharga RM648 ini sudah pun tersedia untuk pembelian di kedai atas talian mahupun pengedar sah FujiFilm seluruh negara. Anda boleh melayari laman web rasmi Instax, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai INSTAX SQUARE Link ini. 

komen


© Amanz / 2022 Kami