Ulasan – Oppo Band 2 Asas Tapi Berguna Untuk Kegunaan Harian

Diterbitkan pada Nov 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak semua orang mampu berbelanja lebih untuk memiliki seutas jam tangan pintar sebenar. Ini disebabkan oleh harga jualan yang kebiasaannya boleh melebihi RM1,000. Justeru, penawaran jam tangan pintar asas dan penjejak kesihatan secara tidak langsung membuka peluang kepada golongan sebegini untuk sama-sama menjaga kesihatan.

Oppo Band 2

Mengulas dengan lebih lanjut, Oppo Band 2 telah diumumkan tempoh hari sebagai variasi kemas kini buat segmen jam tangan dengan penjejak kesihatan keluaran Oppo. Ini adalah kemaskan untuk Oppo Band sebelum dengan pelbagai perbezaan ketara yang boleh dilihat dengan mata kasar khususnya dari aspek reka bentuk. Bagi melihat lebih lanjut mengenainya, inilah ulasan penuh kami untuk peranti boleh-pakai baharu keluaran Oppo ini.


Spesifikasi Ringkas

SpesifikasiOppo Band 2
JenisJam tangan dengan penjejak kesihatan
Paparan1.57-inci (26.3 mm) AMOLED
256 x 402 pixel, 500nits
PemprosesApollo 3.5
Muatan Dalaman8MB PSRAM + 128MB NAND
Bateri200mAh
Mod standard: 14 hari
Mod pintar : 10 hari
Mod berat : 5 hari
SIM/TelefoniTidak
SensorSensor kadar jantung | Sensor oksigen darah | Pecutan | Gyroscope | Cahaya
NFCTidak
InframerahTidak
Tahap Ketahanan5 ATM
Diameter42 x 42 x 11.6 mm
WarnaBlack & Baby Blue
Harga JualanRM249

Pengalaman Penggunaan

Perbezaan rekaan yang sangat ketara membuatkan Oppo Band 2 kelihatan lebih menarik berbanding generasi sebelumnya. Memang tidak dapat dinafikan akan ada yang berpendapat tiada yang menarik dengan rekaan sebegini. Ia boleh dianggap klise, malahan Oppo Watch Free juga menggunakan elemen yang sama. Tetapi kalau mahu dibandingkan dengan Oppo Band, variasi baharu ini masih boleh dianggap menarik kerana kelihatan lebih mirip dengan seutas jam tangan. Penggunaan kerangka berbentuk empat segi memanjang sekaligus membolehkan lebih banyak maklumat serta data dilihat dengan mudah melaluinya.

Salah Satu Muka Jam Disediakan

Ini adalah selari dengan apa diiklankan Oppo menerusi laman web rasmi yang mengatakan skrin Band 2 adalah 74% lebih besar meskipun dibekalkan saiz yang kecil iaitu 1.57-inci. Panel adalah sejenis AMOLED dengan resolusi 256 X 402 piksel dan kecerahan puncak 500nits. Ia cukup terang ketika digunakan tanpa menyilaukan mata. Kami sendiri juga dapat melihat pelbagai kandungan pada skrin Oppo Band 2 dengan selesa dan jelas.

Tidak kira sama ada digunakan di dalam mahupun diuar bangunan. Namun sekiranya anda berpendapat skrin memaparkan kandungan dengan cahaya yang terlalu terang, ia masih boleh diubah suai menerusi tetapan. Terdapat enam tahap terang yang disediakan, ubahsuailah mengikut keadaan semasa. Bagaimanapun, tiada kebolehan Always-On-Display yang ditemui sekaligus menjadikannya sedikit ketinggalan berbanding pesaing setara misalnya seperti Redmi Smart Band 7 Pro.

Akses Pintas

Paparan utama akan memaparkan ciri dan fungsi yang diinginkan bergantung kepada jenis muka jam yang dipilih. Ini termasuklah waktu, tarikh, bacaan nadi, kiraan langkah, peratus bateri dan banyak lagi. Secara lalai, Oppo Band 2 menyediakan sehingga enam pilihan muka jam untuk kegunaan harian dan selebihnya boleh dimuat turun menerusi aplikasi Hey Health Tap.

Proses pertukaran antara muka mengambil masa sekitar 5 – 10 saat. Terdapat juga kebolehan memuat-naik foto sendiri untuk dijadikan gambar latar muka jam yang mungkin dirasakan menarik untuk sesetengah pengguna. Turut disertakan adalah ciri AI Smart Watch Face juga masih disertakan yang membolehkan anda menyesuaikan muka jam sepadan dengan penampilan semasa.

Tiada butang fizikal disertakan memberi petanda jelas ia menyokong kawalan sesentuh secara menyeluruh. Pengalaman tatalan adalah baik untuk seutas jam tangan pintar asas. Ia menjadi lebih baik disebabkan oleh penggunaan skrin jenis memanjang yang memberi ruang mencukupi untuk jari menatal setiap fungsi tersedia. Tetapi apa yang kami sedari adalah pemberitahuan notifikasi yang diterima adalah lambat beberapa saat berbanding peranti yang disambungkan.

AI Smart Watch Face

Seterusnya, ia juga sangat asas yang mana hanya boleh melihat teks tanpa sebarang kebolehan untuk membalas. Ia bagaimanapun dirasakan bukan masalah besar sangat kerana kita sendiri tahu Oppo Band 2 hanyalah jam tangan pintar asas. Hal ini jelas tidak adil untuk kita mengharapkannya mampu menyajikan perkara yang sama seumpama seutas jam tangan pintar sebenar. Kemampuan Haptic feedback atau getaran juga tidaklah sebaik mana tetapi masih mampu memberi anda sedar akan setiap notifikasi yang diterima meskipun sewaktu tidur.

Pemantauan Pola Tidur

Turut disertakan adalah sensor menjejak kesihatan dan kecergasan terbina seperti pengesanan nadi, langkah, jarak berjalan, pola waktu tidur dan kalori dibakar. Ia dianggap menarik kerana membolehkan anda menjejak sejumlah aktiviti kecergasan utama dengan mudah. Menjadikannya sebagai teman ketika bersenam merupakan satu langkah yang baik kerana turut boleh digunakan untuk aktiviti luar seperti berlari, berjalan, berbasikal, berenang dan banyak lagi.

Kebolehan menjejak juga baik dengan kaedah pengumpulan data yang terperinci dan mudah difahami. Kesemua paparan data juga nampak baik serta mudah difahami dengan tambahan graf dan carta yang cukup interaktif. Misalnya seperti fungsi pengesanan nadi akan memaparkan denyutan semasa dan sewaktu rehat, selain turut menyediakan kebolehan mengesan bacaan yang tinggi dan rendah.

Mod Sukan Terbina

Sementara itu, ciri pengesanan stress pula merekodkan purata stress harian dengan membahagikan kepada tiga bahagian sama ada tenang, seimbang atau stress melampau. Begitu juga dengan fungsi pemantauan waktu tidur memaparkan data yang terperinci mengenai tempoh waktu tidur dan terjaga. Cadangan turut diberikan untuk meningkatkan kualiti tidur semasa. Lebih menariknya, terdapat juga kemampuan mengesan dengkuran yang boleh mengenalpasti masalah yang berlaku ketika tidur. Bagaimanapun, pengalaman penggunaan yang menyeluruh hanya boleh dialami menerusi peranti Android sahaja.

Tali Jam Dengan Cangkuk Standard

Seterusnya tali silikon pula dipadankan dengan cangkuk sejenis standard yang bukan sahaja memudahkan, malahan selesa untuk digunakan, tidak kira sama ada ketika bersukan atau dibawa tidur. Hal ini bertambah baik dengan adanya ruang lubang yang banyak pada tali sekaligus membolehkannya digunakan oleh pelbagai lapisan pengguna, tidak mengira saiz pergelangan tangan. Bukan itu sahaja, ia turut berfungsi dengan baik untuk tujuan pengudaraan.

Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan iaitu Black dan Baby Blue. Namun saranan kami, pemilihan warna gelap adalah lebih baik bagi mengelakkan masalah tali jam yang mudah kotor. Inilah yang berlaku pada Oppo Band 2 Baby Blue yang kami terima, di mana kesan kotoran boleh dilihat dengan jelas untuk beberapa kali penggunaan. Untuk makluman, hanya satu tali jam sahaja yang disertakan dengan setiap pembelian. Tali juga boleh ditukar ganti tetapi proses adalah sukar berbanding kebiasaan dan memerlukan penggunaan tali yang khusus.


Kawalan & Sambungan

Untuk spesifikasi, Oppo Band 2 menggunakan cip Apollo 3.5 yang digandingkan dengan muatan dalaman 8MB PSRAM + 128MB NAND. Sebagai jam tangan pintar asas dengan fungsi penjejak kesihatan terbina, kemampuannya mungkin terhad, tetapi mencukupi sahaja untuk kegunaan seharian. Sebilangan ciri dan fungsi tambahan lain turut boleh ditemui menerusi aplikasi HeyTap Health yang mana sedia untuk dimuat-turun pada peranti Andoid dan iOS. Kepada pengguna Huawei, ia belum ditawarkan di dalam App Gallery tetapi boleh sahaja dimuat-turun menerusi Petal Search.

Sambungan adalah melalui bluetooth 5.0 yang memerlukan sejumlah langkah manual dibuat bagi telefon pintar selain daripada model Oppo. Proses juga agak melecehkan kerana pelbagai data yang akan diambil untuk log masuk yang pertama kali. Kesemua ciri dan fungsi yang disediakan berfungsi dengan baik pada peranti Android. Namun, lain pula ceritanya dengan peranti iOS yang tidak boleh mengakses beberapa ciri seperti Find My Phone, kawalan audio dan kebolehan merakam bunyi dengkuran.

Dari segi kawalan, tatalan skrin ke kanan akan memberi akses kepada sejumlah fungsi kesihatan dan kecergasan terbina. Ini termasuklah aktiviti harian, pemantauan waktu tidur, bacaan denyutan jantung dan bacaan jumlah oksigen dalam darah. Seterusnya, tatalan skrin ke bawah pula membawa kepada akses pantas untuk sejumlah tetapan ringkas seperti lampu suluh, fungsi kalis air dan mod jangan ganggu. Tatalan skrin ke atas pula membolehkan notifikasi dilihat, sementara itu tatalan ke kiri membawa kepada sejumlah fungsi kesihatan, kecergasan dan mod sukan terbina.


Ketahanan Bateri

Dengan bateri sebesar 200mAh, Oppo mengiklankan penjejak kesihatan ini mampu bertahan mencapai dua minggu bergantung kepada penggunaan. Secara purata, ia mampu bertahan sehingga 10 hari untuk penggunaan sederhana, kemudiannya berkurang kepada 5 hari untuk penggunaan berat. Penggunaan kami boleh dikatakan di tahap sederhana dengan bateri berbaki kira-kira 20% dengan kemampuan bertahan mencapai 7 hari penggunaan.

Pengecas Dengan Dermaga Khusus

Ia digunakan secara sederhana dengan sambungan bluetooth dan pengaktifan mod terbina secara berkala khususnya ciri pengesanan waktu tidur. Hayat bateri Oppo Band 2 boleh dianggap cukup baik bagi mereka yang malas mahu mengecas setiap hari. Proses pengecasan semula boleh dibuat menggunakan port pengecasan yang dari jenis tersendiri. Bagusnya, ia adalah dari jenis bermagnet yang mencengkam jam dengan kuat tetapi harus diletakkan pada arah yang sepatutnya.


Pesaing Setara

Oppo Band 2 Redmi Smart Band 7Huawei Band 7
1.57″ AMOLED
256 x 402 pixel, 500nits
1.64″ AMOLED 
280 x 486 pixel, 500nits
1.47″ AMOLED
194 x 368 pixel,
Apollo 3.5??
8MB PSRAM + 128MB NAND??
200mAh
Mod standard: 14 hari
235mAh
Mod standard: 10 hari
?
Mod standard: 14 hari
Tiada panggilan telefonTiada panggilan telefonTiada panggilan telefon
Sensor kadar jantung (dengan sensor oksigen darah) | Pecutan | Gyroscope | CahayaSensor kadar jantung (dengan sensor oksigen darah) | Pecutan | Gyroscope | CahayaSensor kadar jantung (dengan sensor oksigen darah) | Gyroscope
5 ATM5 ATM5 ATM
42 x 42x 11.6 mm44.7 × 28.8 × 11mm44.35 x 26 x 9.99 mm
Black, Baby BlueIvory, Olive, Orange, Blue, Black & PinkDark Gray, Gold, Green, Red 
Harga RM249Harga RM299Harga RM219

Apa Di Dalam Kotak

  • 1 x Oppo Band 2
  • 1 x kabel dermaga khusus
  • 1 x manual pengguna

Kesimpulan

Patutkah anda membelinya? Hal ini adalah bergantung pada keperluan masing-masing. Oppo Band 2 sememangnya jam tangan dengan penjejak kesihatan yang asas dan ringkas. Ia juga tidak begitu cergas dengan mod kecergasan yang mungkin terhad. Bagaimanapun, ia masih menarik untuk digunakan dan sangat berguna buat para pengguna yang baru mahu berjinak-jinak dengan gaya hidup yang sihat. Memandangkan ia juga hanyalah seutas jam tangan dengan penjejak kesihatan, maka tidak adil untuk mengharapkannya mampu menawarkan pengalaman seumpama jam tangan pintar sebenar premium.

Turut disertakan adalah beberapa ciri yang lebih berguna seperti kemampuan mengesan dengkuran sewaktu tidur, sekaligus memberi sinar menarik padanya. Sensor-sensor terbina juga berfungsi cukup baik dengan data agak tepat, di samping antaramuka aplikasi ringkas menjadikannya mesra pengguna. Persaingan terdekat adalah Xiaomi Smart 7 Pro dan Huawei Band 7 dengan harga jualan yang tidak jauh berbeza dan mempunyai beberapa ciri tambahan seperti ciri Always-On- Display pada Smart Band 7.


Pro

  • Skrin AMOLED dengan paparan kandungan yang jelas.
  • Prestasi lancar untuk penggunaan harian.
  • Jangka hayat bateri memadai.
  • Ciri mengesan dengkuran terbina.

Kontra

  • Pengecas dengan dermaga khusus.
  • Tiada sokongan GPS.
  • Tali jam yang bukan universal.

komen


© Amanz / 2022 Kami