Rekaan iQOO 11 5G Tertiris – Hadir Dengan Tri-Kamera Dan Cip ISP Vivo V2

Diterbitkan pada Nov 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kewujudan iQOO 11 5G bukanlah lagi satu rahsia, bahkan ia sedia diacah menerusi poster rasmi yang memberi bayangan pelancarannya semakin hampir. Seperti pendahulunya, IQOO dijangka melancarkan sekurang-kurangnya dua telefon premium untuk variasi baharu ini. Cip Snapdragon 8 Gen 2 juga akan digunakan sebagai tunjang utama peranti kelak.

Kini rekaan IQOO 11 5G telah mula didedgakan dalam perkongsian baharu. Ia menunjukkan telefon pintar akan mempunyai modul kamera segi empat tepat di bahagian belakang. Sistem tri-kamera digunakan padanya dengan sokongan satu LED Flash. Penjenamaan V2 yang kelihatan memberi bayangan yang mana sokongan cip ISP Vivo V2 akan disertakan untuk kualiti imej yang baik. Imej dikongsi turut memperlihatkan beberapa pilihan warna dengan kemasan serba merah dan putih pula yang merupakan variasi BMW Motor Sports Edition.

Tubuh peranti mempunyai bingkai yang dibulatkan pada bahagian belakang yang pastinya selesa di dalam tangan. Bahagian hadapan bagaimanapun masih menjadi rahsia kerana belum didedahkan setakat ini. Namun iQOO dijangka mengekalkan skrin berlubang di tengah seumpama beberapa generasi sebelum ini. Kesemua butang laras suara dan kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti.

Adakah rekaan ini menarik minat anda kerana kehadiran IQOO 11 5G juga bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia?

komen


© Amanz / 2022 Kami