Telefon pintar Sony Xperia tidak dinafikan adalah peranti yang baik. Namun harga jualannya yang tinggi, tarikh ketibaannya di Malaysia yang lewat membuatkan orang ramai kurang berminat dengan jenama ini. Tetapi ini tidak membuatkan Sony berputus asa dan terus cuba menarik perhatian orang ramai.
Terkini, spesifikasi peranti yang dikatakan untuk Sony Xperia 10 V tertiris. Kali pertama peranti kelas pertengahan premium Sony ini nampak menarik dan membuatkan saya tidak sabar untuk mencubanya.
Peranti ini akan menggunakan skrin 6.1-inci OLED FHD+ 1080 x 2520 piksel, nisbah paparan kekal dengan 21:9, dan akan menyokong kadar segar semula tinggi yang tiada pada Xperia 10 IV. Peranti akan dijana dengan cip Snapdragon 6 Gen 1 dengan binaan 4nm, memori 6GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 128GB.
Bateri pula dikatakan adalah 5150mAh, sedikit lebih besar dan akan mengekalkan sokongan pengecasan 30W. Sistem kamera dikatakan adalah 12+8+8 Megapixel dan mungkin hanya akan dilancarkan pada suku kedua tahun 2023 akan datang.