Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa komputer-komputer yang menggunakan cip pemprosesan Arm akan menjadi semakin popular pada tahun hadapan. Terkini, laporan daripada syarikat analisa pasaran Canalys telah mengunjurkan bahawa cip pemprosesan Arm akan digunakan pada peratusan besar komputer dan mesin pelayan dalam beberapa tahun ini.

Laporan Canalys mengatakan bahawa menjelang 2026, 30 peratus daripada penggunaan PC global akan dikuasakan cip pemprosesan Arm, yang mana ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana salah satu daripada jenama komputer riba paling terkenal, iaitu Apple sudahpun mula menggunakan cip pemprosesan Arm melalui siri cip Apple M sekitar dua tahun lepas.
Microsoft juga menawarkan model peranti Surface yang dikuasakan cip pemprosesan Microsoft SQ, iaitu kerjasama bersama-sama dengan Qualcomm, manakala peranti Google Chromebook juga dilihat ada menggunakan cip pemprosesan Arm.

Apa yang lebih menarik ialah penggunaan cip pemprosesan tersebut dalam aplikasi komputer mesin pelayan awanan (cloud servers). Menurut laporan Omdia, 7.1 peratus daripada jumlah mesin pelayan di pusat data secara global menggunakan cip pemprosesan Arm.
Apa yang menarik mengenai ini ialah ia tidak mengambil kira penggunaan cip pemprosesan tersebut untuk peranti-peranti misi kritikal, mesin pelayan seperti penghala rangkaian dan sebagainya. Canalys mengunjurkan bahawa menjelang tahun yang sama, 50 peratus daripada pasaran mesin pelayan akan menggunakan cip pemprosesan Arm.

Ini dilihat kerana syarikat-syarikat teknologi gergasi yang bergantung kepada infrastruktur mesin pelayan akan mahukan pilihan komponen yang bukan sahaja berkuasa, tetapi juga cekap dari segi penggunaan kuasa.
Ia dijangka bahawa dalam tahun-tahun yang akan datang, pilihan cip pemprosesan Arm untuk mesin pelayan akan semakin meningkat dan pengeluar cip pemprosesan tersebut akan memperkenalkan komponen yang jauh lebih hebat dan cekap.
Dalam pada itu, dengan cip pemprosesan Arm, syarikat-syarikat boleh meminta untuk komponen-komponen dibangunkan untuk tugasan-tugasan khas, yang mana ia akan menjamin prestasi dan kecekapan terbaik untuk penggunaan khusus sesebuah syarikat.
Satu-satunya kekurangan yang mungkin dapat dilihat ialah mesin pelayan yang menggunakan cip pemprosesan Arm ini tidak boleh menggunakan perisian yang ditulis untuk cip pemprosesan X86 seperti Intel Xeon dan AND EPYC.