LG Menghasilkan Speaker Nipis Yang Boleh Digunakan Sebagai Panel Dalam Kereta

Diterbitkan pada Nov 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di dalam kabin kereta speaker biasanya diletakkan pada bahagian bawah panel pintu, di belakang kerusi penumpang dan di bahagian bawah papan pemuka. Ia mudah dikesan kerana terdapat kekisi yang jelas kelihatan untuk udara dari pemandu audio mengeluarkan bunyi. Tetapi LG Display telah menghasilkan speaker baharu nipis yang membolehkannya digunakan sebagai panel hiasan dalam kabin kereta.

Setiap speaker Thin Actuator Sound Solution hanya sebesar 15×9 cm, setebal 2.5mm dan seberat 40 gram. Ini menjadikannya bukan sahaja lebih nipis tetapi lebih ringan berbanding sistem audio biasa. Oleh sebab itu ia boleh diletakkan di permukaan kabin seperti bumbung, tiang dan mana-mana sahaja yang dikehendaki oleh pengeluar kenderaan. Dengan ini sistem audio yang lebih menyeluruh boleh disertakan dalam kenderaan.

Lubang kekisi pada speaker ini juga tidak begitu ketara oleh itu sistem audio dalam kabin akan menjadi lebih tersorok. Tambah LG lagi Thin Actuator Sound Solution juga tidak memerlukan unsur nadir bumi seperti neodymium yang perlu dilombong. Maka sistem audio ni mempunyai impak ke atas alam sekitar yang lebih rendah.

Thin Actuator Sound Solution dibangunkan oleh LG dengan sebuah syarikat audio ternama yang belum didedahkan. Ia akan diperlihatkan kepada umum di acara CES 2023 di Las Vegas Januari depan. 

komen


© Amanz / 2022 Kami