Carian
Kapsul Angkasa Orion Dari Misi Artemis I Berjaya Mengelilingi Bulan
November 22, 2022 Effi Saharudin

Misi Artemis I berjaya dilancarkan minggu lalu selepas beberapa kali dibatalkan akibat isu tangki bahan api dan keselamatan yang dikesan pada saat akhir. Semasa dilancarkan menggunakan roket SLS ia membawa kargo kapsul angkasa Orion yang hanya mengandungi patung penyelaku angkasawan. Selepas beberapa hari dilancarkan, Orion telah berjaya melakukan orbit mengelilingi bulan.

Dengan menggunakan roket kawalan, Orion berjaya mengorbit bulan pada ketinggian sekitar 81 batu dari orbit asal 328 batu. Pergerakan ini telahpun dirancang untuk melihat sama ada sistem roket mampu mengubah haluan Orion untuk mendarat di bulan dalam misi Artemis di masa hadapan.

Seterusnya Orion akan mengorbit bulan selama seminggu untuk melakukan pelbagai ujian sistem sebelum roket kawalan dihidupkan bagi membawanya ke orbit 57,250 batu dari bulan. Kemudiannya roket dihidupkan sekali lagi untuk ia kembali menghampiri bulan dan dengan bantuan graviti akan dilenting kembali ke bumi pada 11 Disember depan.

Kesemua misi awal Artemis adalah bagi menguji sistem pelancaran, bantuan hidup, kapsul dan profil misi sebelum misi sebenar mendaratkan manusia kembali ke permukaan bulan menjelang 2025.

Komen