Vivo TWS 3 Dan TWS 3 Pro Dilancarkan Dengan Sokongan Audio Nirhilang

Diterbitkan pada Nov 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada telefon pintar, barisan aksesori audio Vivo turut dikemaskini dengan dua penawaran baharu. Melaluinya, Vivo TWS 3 dan TWS 3 Pro telah diperkenalkan dengan rekaan yang sama di antara satu sama lain. Di mana, fon telinga jenis dalam telinga bertangkai digunakan dengan padanan pod pengecas berbentuk bujur.

Sepasang pemandu audio 12.2mm jenis dinamik dan diafragma 3 lapisan nano komposit digunakan. Turut disertakan adalah sokongan pembatalan hingar aktif terbina yang mampu menapis hingar mencapai 48dB. Menariknya lagi, ia juga mempunyai sokongan transmisi aptX Lossless untuk kemampuan audio nirhilang, selain dimuatkan dengan teknologi dibangunkan oleh Vivo yang dikhususkan untuk kualiti treble dan bass lebih baik. Kelebihan pada variasi Pro adalah ia ditala dengan THD+N (Total Harmonic Distortion + Noise) untuk sokongan lebih baik.

Selain itu, ciri 360 audio juga boleh ditemui padanya bagi membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio maya daripada kesemua arah. Sebagai tambahannya lagi, ia adalah fon telinga dengan audio Hi-Fi bersama cip audio bebas yang boleh menghasilkan audio tanpa mengurangkan kualiti asal. Terdapat juga mod mendengar tambahan yang direka khusus buat golongan kurang upaya pendengaran.

Kemudian tambatan pantas boleh dibuat menerusi sokongan Bluetooth 5.3, dalam masa sama beberapa ciri tambahan lain yang boleh ditemui adalah sokongan mod latensi rendah 55ms, sambungan berbilang peranti, kebolehan terjemahan masa nyata dan mencari telefon pintar yang disambungkan.

Bateri 430mAh yang disertakan boleh bertahan mencapai 40 jam dengan bantuan pod pengecas untuk Vivo TWS 3. Sementara itu varisi pro mempunyai bateri 520mAh yang sekadar bertahan sehingga 30 jam penggunaan dengan bantuan pod pengecas. Untuk harga, Vivo TWS 3 dijual pada RMB499 (~RM320), seterusnya variasi pro pula boleh didapati pada RMB999 (~RM640).

komen


© Amanz / 2022 Kami