Cari @ Amanz

Honor Magic Vs Dilancarkan – Dijana Snapdragon 8+ Gen 1, Menyokong Stilus Dan Engsel Lebih Baik

Link Copied!

Honor hari ini telah melancarkan peranti dengan skrin boleh-lipat kedua mereka untuk tahun 2022. Januari lalu mereka memperkenalkan Honor Magic V, sebentar tadi generasi baharu pula diperkenalkan iaitu Honor Magic Vs.

Peranti ini akan bersaing dengan Samsung Galaxy Z Fold4, iaitu pesaing paling adil yang ada di pasaran sekarang iaitu peranti skrin boleh-lipat dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1.

Honor Magic Vs menggunakan rekaan dwi skrin seperti Samsung dan Magic V iaitu skrin luar 6.45-inci OLED FHD+ 2560×1080 piksel dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dipadankan dengan skrin dalam 7.9-inci OLED dengan resolusi 2272×1984 piksel yang menyokong kadar segar semula 90Hz. Seperti yang dikatakan tadi, cip pemprosesan adalah Snapdragon 8+ Gen 1 iaitu cip peranti Android yang cukup berkuasa. Agak mengecewakan ia tidak menggunakan cip Snapdragion 8 Gen 2 yang lebih baharu.

Untuk memori Honor menawarkan pilihan 8GB atau 12GB RAM bersama dengan storan dalaman 256GB atau 512GB. Bateri peranti adalah 5000mAh, lebih besar daripada sebelum ini yang menggunakan bateri 4750mAh. Kuasa pengecasan pula adalah 66W Honor SuperCharge yang lebih pantas daripada Samsung Galaxy Z Fold4. Tiada sokongan pengecasan nirwayar disediakan dan terhad kepada berwayar sahaja.

Untuk kamera, Honor Magic Vs menggunakan konfigurasi tri-kamera 54MP Sony IMX800 sudut lebar, 50MP ultra sudut lebar dan 8MP telefoto 3x zum optikal bersama dengan kamera swafoto 16MP di luar. Kamera swafoto di dalam pula sama iaitu 16MP. Peranti ini menjalankan MagicOS 7 berasaskan Android 13. Sistem sekuriti masih sama iaitu pengimbas cap jari di sisi bersama dengan butang kuasa.

Dari segi rekaan, Honor menawarkan rekaan yang lebih nipis dan nampak lebih premium daripada sebelum ini. Ia juga boleh dilipat dengan keadaan lebih rata kerana menggunakan sistem engsel baharu yang mereka gelar sebagai Super-light Gearless Hinge. Peranti ini turut menyokong penggunaan stilus untuk tujuan menulis seperti Samsung dengan S Pen.

Untuk sistem audio, Honor Magic Vs menggunakan speaker stereo jenis simetri IMAX Enhanced, turut mempunyai tiga mikrofon memfokuskan suara dan speaker ditala dengan sistem DTS: X Ultra seperti yang ditemui pada Honor Magic4 Pro. Dalam MagicOS 7, Honor menawarkan beberapa ciri multi-tugasan dan kemudahan penggunaan skrin besar dan yang boleh-lipat seperti Smart Multi-Window, App Extender, One Swipe Split, Adaptive Screen Rotate, Dual-View Photo Edit dan banyak lagi.

Harga jualan Honor Magic Vs adalah RMB7,499 (~RM4,798) untuk model 8/256 GB, RMB7,999 (~RM5,118) untuk 12/256 GB dan RMB8,999 (~RM5,758) untuk 12/512 GB. Untuk versi yang menyokong stilus ia adalah Honor Magic Vs Prestige Edition dengan memori 16/512 GB dan harga jualan RMB10,888 iaitu (~RM6,967) Buat masa ini jualan adalah terhad di China sahaja dengan perancangan untuk menembusi pasaran global menjelang tahun 2023 nanti.


Komen ()