Rekaan Samsung Galaxy A34 Tertiris – Menyokong Tri-Kamera Utama

Diterbitkan pada Nov 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung dilaporkan hadir dengan variasi baru untuk siri Galaxy A sekitar Januari hadapan. Salah satu model yang dijangka diumumkan adalah Samsung Galaxy A34 dan kini reka bentuknya mula diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan tular. Elemen yang digunakan kelihatan sangat mirip dengan sebuah Galaxy A14 dan Galaxy A54 yang pernah tertiris sebelum ini.

Di mana, panel belakang menempatkan tiga modul kamera dalam kedudukan berbeza dan disusun secara menegak. Kemudiannya terdapat juga LED Flash yang disertakan bersama penjenamaan Samsung pada bahagian bahagian bawah. Konfigurasi kamera masih kekal rahsia kerana tiada maklumat lanjut yang didedahkan mengenainya.

Seterusnya kita juga boleh melihat terdapatnya takuk kecil pada panel hadapan untuk peletakan kamera swafoto tunggal. Dalam masa sama, saiz bezel pada bahagian dagu juga kelihatan lebih tebal berbanding generasi yang sebelumnya. Saiz skrin pula dikhabarkan bersaiz 6.5-inci dengan panel sejenis AMOLED.

Tidak ketinggalan, telefon juga akan menempatkan butang kuasa dan laras suara pada sisi kanan. Bahagian sisi bawah pula menempatkan port sambungan USB-C, bicu audio, lubang mikrofon, sementara itu slot ruang SIM nano boleh ditemui pada sisi atas. Tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran khusus yang didedahkan setakat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami