Sebuah lagi paparan pintar Huawei telah diperkenalkan di China yang dikenali sebagai Smart Screen S75. Seperti namanya, ia menggunakan skrin sebesar 75-inci sejenis LCD dengan resolusi 3840×2160 dan kadar segar semula 60Hz. Nisbah skrin-ke-badan pula mencapai 97.7%, di samping turut menyokong beberapa ciri tambahan seperti sokongan lebih 1 billion warna dan gamut warna DCI-P3 92%.
Selain daripada itu, cip empat teras turut digunakan dengan padanan memori 3GB dan storan terbina 32GB. Terdapat juga empat pembesar suara terbina dengan output 10W yang merangkumi dua unit jarak jauh dan dua unit lagi dengan frekuensi tinggi untuk bunyi lebih emersif. Pengalaman tontonan juga menjadi lebih baik dengan adanya ciri terbina yang boleh meningkatkan suara manusia, di samping bijak mengoptimumkan suara serta latar belakang dalam filem.
Lain-lain spesifikasi yang menyokong termasuklah dwi antena WiFi untuk kestabilan rangkaian lebih baik, NFC yang membolehkan kawalan alatan rumah pintar dilakukan dan pilihan port I/O pula terdiri dengan 2XHDMI, port AV In, port USB 2.0, port RJ45 dan input DTMB. Untuk harga, ia dijual di China pada RMB5,999 (~RM3,739).