Carian
Huawei Mula Mengecilkan Operasi Di Eropah
November 25, 2022 Effi Saharudin

Sekatan teknologi yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Huawei sudah memasuki tahun ketiga dan masih tiada petanda akan berakhir. Oleh sebab itu Huawei kini memulakan proses mengecilkan operasi mereka di Eropah menurut laporan Politico. Operasi mereka yang sebelum ini berpangkalan di Belgium telah dipindahkan ke Jerman.

Huawei 5G

Langkah jangka panjang ialah memindahkan kesemua operasi pasaran Eropah ke Jerman dengan pejabat lain akan ditutup. Proses penutupan telahpun dilakukan dengan beberapa eksekutif tertinggi dalam bahagian komunikasi dan perhubungan awam telahpun meletakkan jawatan sejak September 2021.

Selain eksekutif, barisan pelobi yang digunakan untuk memastikan kelengkapan Huawei boleh terus digunakan di Eropah turut telah mula dilepaskan. Tindakan ini diambil kerana situasi di Amerika Syarikat dan perang di Eropah menyukarkan operasi syarikat di Eropah. Tumpuan kini diberikan sepenuhnya di pasaran China dengan Huawei kini dipintas syarikat lain seperti Vivo, Oppo dan Honor.

Sejak sekatan teknologi dikenakan, Huawei yang pada suatu ketika hampir memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia kini tidak lagi tersenarai sebagai lima pengeluar terbesar. Sehingga sekarang mereka tidak mampu mengeluar peranti 5G serta terpaksa menghentikan pengeluaran cip Kirin rekaan sendiri.

Komen