Carian
Siri Xiaomi 13 Bakal Diperkenalkan Secara Rasmi Pada 1 Disember
November 28, 2022 Amy Maizuraa

Kemaskini baharu Xiaomi di Weibo kini mendedahkan tarikh pelancaran rasmi untuk beberapa produk baharunya. Ini termasuklah variasi terkini untuk telefon pintar mereka iaitu Xiaomi 13 dan aksesori audio Xiaomi Buds 4. Ianya bakal berlangsung di China pada 1 Disember ini.

Bercakap mengenai Xiaomi 13, ia bakal diumumkan dalam dua pilihan model berbeza yang merangkumi Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Maklumat yang didedahkan setakat ini agak terhad tetapi mungkin sedikit sebanyak memberi bayangan mengenai penawaran pada peranti. Misalnya jelas kelihatan, Xiaomi akan bekerjasama dengan Leica untuk kebolehan sistem kamera pada peranti-peranti ini. Ia berikutan terdapatnya penjenamaan Leica yang jelas kelihatan pada poster acah yang dikongsi.

Seterusnya, kedua-dua peranti diiklankan hadir dengan saiz skrin yang berbeza, tetapi mampu menawarkan pengalaman tontonan cukup baik. Skrin OLED sejenis rata akan digunakan pada model Xiaomi 13 dengan padanan saiz bezel yang nipis berukuran kira-kira 1.61mm. Tidak dapat dipastikan sama ada variasi pro akan dilengkapi ciri yang sama atau sebaliknya. Tetapi kita boleh menjangkakan Xiaomi pasti berkongsi dengan lebih lanjut dalam kemaskini yang akan datang.

Berkongsi mengenai Xiaomi Buds 4 pula, ia menunjukkan set fon telinga separa terbuka bertangkai yang dipadankan dengan pod pengecas bujur. Ia berbeza dengan model pro yang diumumkan sebelum ini, tetapi kemasan berkilat masih dikekalkan padanya. Tiada maklumat lanjut mengenai perkakasan dalaman yang didedahkan setakat ini.

Sebagai tambahan, pelancaran baharu MIUI 14 turut akan diumumkan pada acara yang sama.

Komen