Cari @ Amanz

Selain daripada menjadi CEO syarikat-syarikat seperti Tesla, SpaceX dan Twitter, Elon Musk juga cukup dikenali untuk komentarnya mengenai keadaan kriptowang global. Ciapan-ciapan di Twitter oleh beliau pernah menyebabkan nilai kriptowang untuk naik dan jatuh, dan terkini nampaknya terdapat individu-individu yang mahu mengambil kesempatan mengenai ini.

Terkini, pengasas-pengasas kriptowang baru yang dinamakan Elon GOAT ataupun EGT baru sahaja menghantar sebuah arca bertemakan Elon Musk ke ibu pejabat Tesla di Austin, Texas yang tampil dengan bentuk roket dan juga kepala Elon Musk.

Arca ini dianggarkan bernilai $600 ribu (~RM2.7 juta) dan walaupun ia dihantar ke pejabat Elon Musk sendiri, beliau nampaknya tidak hadir untuk menerima arca tersebut, mungkin kerana sibuk mengendalikan Twitter di San Francisco.

Proses pembuatan arca Elon Musk ini boleh dilihat melalui akaun Instagram Elon GOAT Token.

Kriptowang Elon GOAT baru ini juga mungkin menggunakan nama Elon Musk, tetapi tidak menerima restu pemilik namanya, dan walaupun pengasas-pengasas kriptowang ini mungkin peminat susah mati individu tersebut, Elon mungkin tidak begitu selesa dengan namanya digunakan untuk skim kriptowang baru ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd