Cari @ Amanz

GMW kini telah membawa salah satu kenderaan terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu ORA Good Cat. Kereta elektrik ini telah pun dilancarkan secara rasmi sebentar tadi, dan akan dijual pada harga bermula RM139,800 untuk pasaran Malaysia.

ORA Good Cat hadir dengan rekaan yang kompak, menggunakan rekaan lampu LED hadapan seumpama mata kucing, dan tayar 18-inci.

Sebanyak dua variasi pilihan disediakan, iaitu 400 Pro yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 400 kilometer dengan pengecasan penuh, selain 500 Ultra yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 500 kilometer dengan pengecasan penuh.

ORA Good Cat 400 PRO dilengkapi bateri pada kapasiti 47.788kWh, sementara 500 Ultra pula dengan bateri 63.139kWh. Kenderaan ini dilihat membawakan kelajuan maksima mencapai 152km/j.

Untuk versi 400 Pro, pengecasan penuh menggunakan pengecas AC mengambil masa sekitar 8 jam, sementara menggunakan pengecas pantas DC, ia boleh mencapai sehingga 80% dalam masa sekitar 46 minit.

Sementara untuk versi 500 Ultra, pengecasan penuh menggunakan pengecas AC mengambil masa 10 jam, sementara pengecasan pantas DC, ia boleh mencapai sehingga 80% dalam masa sekitar 60 minit.

Pada bahagian dalaman, ia menyertakan skrin sebesar 17.25-inci yang mengabungkan penggunaan untuk multimedia dan juga untuk paparan keadaan kenderaan seperti halaju dan sebagainya.

ORA Good Cat turut mengintegrasikan pengecas nirwayar pada bahagian dalam kenderaan, selain turut membawakan sokongan mengurut pada kerusi.

Beberapa ciri pintar pemanduan turut disertakan termasuk kawalan brek kecemasan, kawalan brek ketika membelok, ciri parkir pintar, dan sebagainya.

Di Malaysia, ORA Good Cat 400 Pro ditawarkan pada harga bermula RM139,800, sementara model 500 Ultra pula ditawarkan pada harga bermula RM169,800.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd