Carian
Elon Musk Mendakwa Apple Mengancam Membuang Aplikasi Twitter Dari App Store
November 29, 2022 Effi Saharudin

Selepas cuba berperang dengan syarikat-syarikat utama yang enggan menggunakan Twitter sebagai medium pengiklanan, Elon Musk hari ini mengeluarkan dakwaan bahawa Apple ingin membuang aplikasi Twitter dari App Store.

Dalam ciapan yang dihantar, Musk berkata Apple enggan memberikan sebab mengapa Apple ingin membuang aplikasi dari App Store. Beliau turut berkata Apple meminta Twitter melakukan proses moderasi kandungan sebelum selepas ia ia diambil alih oleh Elon Musk awal bulan ini. Ini selari dengan permintaan Apple sebelum ini yang menarik aplikasi Tumblr dari App Store kerana kerisauan kandungan berunsur lucah yang boleh diakses mudah tanpa tapisan.

Selepas memecat lebih separuh tenaga kerja, pasukan menapis kandungan bermasalah, lucah dan melanggar harta intelek adalah antara yang terkesan. Dalam sebuah laporan Wired hari ini, Twitter dikatakan hanya mempunyai seorang kakitangan sahaja yang ditugaskan membuang kandungan lucah dan penderaan kanak-kanak.

Minggu lalu Phil Schiller, ketua produk Apple memadam akaun Twitter beliau secara mengejut tanpa sebarang sebab. Apple yang merupakan pengiklan terbesar Twitter pada Q1 2022 pula kini dilaporkan menghentikan semua bentuk pengiklanan.

Komen