Carian
iPhone 15 Dilaporkan Akan Menggunakan Sensor Terkini Sony Untuk Kamera Lebih Baik
November 29, 2022 Effi Saharudin

Kamera iPhone mempunyai dua kekurangan ketara berbanding kamera pada peranti mercu Android. Pertama sekali ialah masih tiada sistem zum periskop yang menawarkan kemampuan zum yang tinggi dan sensor yang masih kecil sedangkan penggunaan sensor 1″ sudah menjadi normal di Android.

Menurut laporan Nikkei Asia, Apple ingin mengubah semua ini menerusi iPhone 15 kelak. Seperti beberapa ura-ura yang sudah kami laporkan sebelum ini, iPhone 15 dengan sistem zum periskop dijangka akan dihasilkan. Hanya model Pro sahaja akan dilengkapi zum periskop ini kelak dengan model biasa kekal dengan hanya lensa sudut lebar serta sudut ultra lebar.

Bagi meningkatkan kemampuan kamera pula, Apple akan menggunakan sensor terkini Sony yang didakwa akan meningkat isyarat saturasi untuk setiap pixel sebanyak dua kali gandar. Ini akan meningkatkan jumlah cahaya yang boleh ditangkap pada waktu yang sama mengurangkan isu dedahan berlebihan. Wajah seorang individu masih boleh ditangkap dengan jelas walaupun membelakangkan sumber cahaya yang terang di belakang.

Tidak diketahui sama ada sensor ini adalah sensor 1″ atau sekadar sensor biasa dengan saiz megapixel yang lebih besar. Kebelakangan ini Sony menumpukan usaha menghasilkan sensor 1″ dengan Samsung pula menawarkan sensor dengan saiz mencecah 200MP.

Komen