Carian
Perisian Lewahjam MSI Afterburner Dengan Perisian Hasad Terbina Sedang Disebarkan
November 29, 2022 Nazrin

Perisian MSI Afterburner ialah sebuah perisian yang membolehkan pengguna untuk melewahjam komponen kad grafik mereka, memberikan pengguna prestasi tambahan yang membolehkan mereka untuk mendapatkan kemampuan grafik dan juga jumlah bingkai yang lebih tinggi dari apa yang biasanya ditawarkan.

Perisian MSI Afterburner ini secara lazimnya bukan sahaja boleh didapati melalui laman web MSI, tetapi juga sejumlah laman web teknologi yang lain yang akan berkongsi pelbagai perisian lain yang boleh digunakan dengan komputer mereka.

Terkini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa ada laman web yang berkongsikan perisian MSI Afterburner ini, tetapi dengan perisian hasad yang terbina didalamnya.

Melalui laporan-laporan ini, apa yang akan berlaku ialah perisian hasad melombong kriptowang juga akan dimuat-turun ke komputer dan dipasang ke perisian Explorer, dan dari situ, ia akan melombong kriptowang dan memuat-naik data ke mesin pelayan penggodam.

Cara perisian MSI Afterburner tiruan ini disebarkan ialah menggunakan social engineering dimana laman web MSI akan ditiru, dan menggunakan carian Google akan tiba di bahagian atas carian laman web tersebut dan dari situ mereka yang baru mahu menggunakan perisian ini akan memuat-turun dari laman-laman web ini dan kemudiannya menjangkiti komputer mereka.

Buat masa ini, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan melihat pada pautan laman web yang mereka lawati sebelum memuat-turun perisian MSI Afterburner di komputer mereka.

Komen