Pelancaran produk baharu Xiaomi pada 1 Disember ini turut akan memperlihatkan kemaskini untuk peranti boleh-pakainya. Melaluinya, Xiaomi Watch S2 bakal diumumkan sebagai variasi kesinambungan bagi Xiaomi Watch S1 sebelum ini dengan pelbagai pembaharuan lebih menarik.
Antaranya, ia tampil lebih segar dengan reka bentuk elegan selain diperkemaskan elemen yang lebih bergaya moden. Boleh dikatakan, ia mirip sekali dengan seutas Samsung Galaxy Watch5. Kerangka berbentuk bulat masih dikekalkan, tetapi tiada lagi tombol berputar yang disertakan. Sebaliknya kedua-dua butang fizikal kini lebih nipis bagi kawalan menyeluruh pada jam tangan.
Keseluruhan tubuh juga tampak premium seakan diperbuat daripada bahan logam tahan karat dengan padanan tali jam kulit dan cangkuk standard. Namun ia turut dijangka ditawarkan dalam pilihan tali silikon bagi memudahkan penggunaan sewaktu bersenam atau bersantai. Tali jam tangan ini juga dijangka turut boleh ditukar ganti mengikut kesesuaian.
Tidak banyak maklumat mengenai spesifikasi dalaman yang diketahui buat masa ini. Tetapi, Lei Jun yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi mengesahkan jam tangan ini bakal tersedia dalam dua pilihan saiz – yang terdiri dengan 42mm dan 46mm. Dalam masa sama, ia juga dijangka dipasarkan dengan julat harga sekitar RMB999 (~RM627) seutas.