Cari @ Amanz

Awal pagi tadi Portugal menunjukkan Uruguay 2-0 dalam perlawanan Piala Dunia peringkat kumpulan. Gol pertama Portugal dianugerahkan kepada Bruno Fernandes tetapi Cristiano Ronaldo mengatakan ia sepatutnya milik beliau kerana bola ditanduk masuk. Dalam beberapa video gerak perlahan kelihatan seperti bola menyentuh kepala Ronaldo sebelum memasuki gol.

Tetapi FIFA kini mengesahkan bola pintar Adidas Al Rihla yang dilengkapi Unit Mengukur Inertia (IMU) tidak dapat mengesan sebarang perubahan interia dalam perjalanan ke dalam gol. Ini sekaligus memberikan keputusan muktamad gol dijaringkan oleh Fernandes bukannya Ronaldo. IMU mengesan perubahan inertia bola pada kadar 500Hz. Pada graf perubahan inertia yang dirakam, tiada perubahan dicatatkan. Al Rihla ialah bola pintar pertama yang digunakan oleh FIFA di Piala Dunia.

Ronaldo ingin gol diberikan kepada beliau supaya beliau dapat mencatatkan 9 gol di Piala Dunia meletakkan beliau setanding dengan tokoh bola sepak Portugal Eusebio. Minggu lalu beliau menjadi pemain pertama menjaringkan gol di lima Piala Dunia dalam perlawanan menentang Ghana.

Teknologi bola pintar Adidas Al Rihla bukan sahaja membantu mengesan sentuhan dalam mendapatkan keputusan yang tepat dalam menjaringkan gol tetapi juga untuk mengesan ofsaid bagi membantu sistem VAR. Dengan teknologi pintar, kontroversi jaringan “Tangan Tuhan” Maradona dan gol England yang didakwa tidak melepasi garisan pada tahun 1966 tidak akan berulang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd