Carian
Rekaan OnePlus Nord CE 3 Tertiris – Hadir Dengan Sistem Tri-Kamera
November 30, 2022 Amy Maizuraa

OnePlus kini dilihat dalam persediaan hadir dengan kesinambungan baharu untuk telefon pintar di bawah siri Nord. Ia berikutan timbulnya beberapa desas-desus mengenai OnePlus Nord CE 3 yang sebelum ini pernah didedahkan oleh OnLeaks. Untuk kali ini, reka bentuknya pula telah mula dikongsi.

Tiada lagi modul kamera besar seperti generasi terdahulu. Tetapi Nord CE 3 dijangka mempunyai dua modul kamera berbentuk bulat di belakang. Ia disusun secara menegak dengan peletakan tiga sensor dalam kedudukan yang berbeza. Di mana, terdapatnya satu sensor bersaiz besar pada bahagian atas, kemudian bahagian bawah pula menempatkan dua sensor kecil.

Ia boleh dikatakan agak klise kerana rekaan ini turut pernah digunakan oleh beberapa pengeluar lain seperti Honor, Huawei, Realme dan Oppo pada sebilangan produk mereka. Turut disertakan adalah logo OnePlus sendiri yang boleh ditemui pada bahagian tengah panel belakang seperti kebiasaaan.

Nord CE 3 juga dilihat menampilkan tubuh dengan sisi rata. Panel hadapan pula sejenis berlubang di tengah untuk peletakan kamera swafoto tunggal. Saiz bezel juga tampak nipis pada bahagian atas dan sisi, tetapi masih menampakkan dagu yang agak tebal. Boleh jadi, OnePlus menggunakan skrin sebesar 6.7-inci IPS LCD dengan kadar segar semula 120Hz.

Jangkaan awal mendapati ia mungkin dijana dengan Snapdragon 695, sekaligus menjadikannya sebuah telefon pintar dengan sokongan 5G terbina. Bukan itu sahaja, ia juga dipercayai dimuatkan sokongan memori sehingga 12GB RAM dan storan 256GB, di samping menjalankan Android 13 daripada luar kotak.

Komen