Rekaan Dan Sebahagian Spesifikasi ASUS ROG Zephyrus G14 Baru Tertiris

Diterbitkan pada Nov 30, 2022. oleh .

ASUS dijangka akan memperkenalkan siri komputer-komputer riba gaming terbaru mereka di acara CES 2023 kelak, dan terkini, nampaknya sebahagian daripada rekaan dan juga spesifikasi salah satu daripada peranti gaming mereka sudahpun tertiris ke arena web.

ASUS ROG Zephyrus G14 merupakan salah satu daripada komputer riba mereka yang paling menarik minat penggemar gaming yang mahukan sebuah komputer riba yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga hadir dengan rekaan yang serba padat.

Sebahagian daripada rekaan dan juga spesifikasi komputer riba tersebut telah tertiris ke arena web melalui South Korean Energy Agency, yang boleh dikatakan sebagai SIRIM untuk Korea Selatan. Komputer riba ini dilihat tampil dengan rekaan yang hampir sama seperti apa yang diperlihatkan melalui ASUS ROG Zephyrus G14 yang dilancarkan pada tahun ini.

Perbezaan paling ketara yang mungkin dapat dilihat ialah melalui spesifikasi komponen yang digunaka oleh ASUS untuk model baru tersebut. Ini termasuklah komponen CPU AMD Ryzen 77XX dan sebuah kad grafik yang tidak disahkan lagi modelnya.

Kebarangkaliannya adalah besar bahawa komputer riba ini akan tampil dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 77XX menggunakan model HS yang secara lazimnya menguasakan komputer riba ini, dan akan digabungkan dengan kad grafik AMD RDNA3 untuk komputer riba yang mungkin akan diperlihatkan kelak.

komen


© Amanz / 2023 Kami