Peranti Surface Duo Dijangka Hadir Dengan Program Insider Mereka Sendiri

Diterbitkan pada Nov 30, 2022. oleh .

Sistem operasi Windows oleh Microsoft mempunyai program ujian Windows Insider yang digunakan untuk menguji kestabilan binaan sistem operasi dan juga ciri-ciri baru yang akan dilancarkan di masa hadapan.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa peranti dwi-skrin Microsoft Surface Duo juga mungkin akan hadir dengan program ujian Insider mereka sendiri tidak lama lagi.

Perkara ini ditemui oleh Gustave Monce yang berciap mengenainya di Twitter tentang perkara tersebut.

Ini bukanlah sebuah konsep yang asing buat Microsoft kerana mereka juga hadir dengan program Insider untuk konsol Xbox dan juga perkhidmatan langganan produktiviti pejabat Microsoft Office.

Program Surface Insider ini akan membolehkan pemilik Surface Duo untuk menguji pelbagai jenis ciri-ciri baru yang sedang dibangunkan Microsoft untuk peranti ini dan juga peranti-peranti akan datang dan akan membantu untuk memperbaiki mutu pengalaman pengguna.

Setakat ini Microsoft masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai program Surface Insider ini, tetapi sekiranya ia telah mula dikeluarkan oleh sejumlah peranti Microsoft Surface Duo, kami jangkakan bahawa Microsoft akan memperkenalkannya secara rasmi tidak lama lagi.

komen


© Amanz / 2023 Kami