TC Acoustic Membuka Kedai Konsep Audio Terbaru Di Kuala Lumpur

Diterbitkan pada Dis 1, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

TC Acoustic ialah syarikat pengedar perkakasan audio yang cukup terkenal untuk penawaran jenama audio premium seperti Sonos dan Klipsch dimana sebelum ini mereka secara lazimnya hanya menjual produk-produk pembesar suara melalui laman web mereka.

Terkini, TC Acoustic telah membuka kedai konsep pertama mereka di Malaysia di pusat membeli-belah Starhill Gallery di Kuala Lumpur yang memperlihatkan penawaran katalog penuh produk-produk mereka yang boleh dilihat dan dialami dengan mata dan telinga sendiri.

Selain daripada melihat produk-produk yang dapat dibeli di kedai tersebut, ia juga hadir dengan sebuah bilik berkonsepkan ruang-tamu yang dimuatkan dengan sistem audio 5.2.2 yang terdiri daripada lima buah pembesar suara dan dua subwoofer daripada Sonos. Pengguna boleh menikmati sendiri pengalaman menggunakan Sonos Arc, Sonos Ray, Sonos Sub dalam pelbagai konfigurasi di satu lokasi untuk menentukan gabungan produk audio manakah yang paling sesuai untuk anda.

Bukan itu sahaja, kedai TC Acoustic ini juga hadir dengan pakar-pakar audio yang akan membantu pembeli untuk membuat keputusan terbaik tentang produk dan konfigurasi manakah yang paling sesuai untuk mereka.

Bagi anda yang berminat untuk mencuba sendiri produk-produk Sonos dan Klipsch ini, anda boleh lawati kedai TC Acoustic di UG05, Upper Ground Floor, Starhill Gallery, 181, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

komen


© Amanz / 2023 Kami