Carian
Skrin Luaran Lebih Besar Mungkin Digunakan Pada Samsung Galaxy Z Flip5
December 2, 2022 Amy Maizuraa

Ura-ura yang mengatakan Samsung akan menggunakan skrin luaran lebih besar pada telefon boleh lipat jenis clamshell miliknya boleh dikatakan sudah acap kali kedengaran. Ini termasuklah generasi terkini, Galaxy Z Flip4 yang masih mengekalkan penggunaan skrin luar dan dalam yang sama seperti Galaxy Z Flip3 sebelum ini.

Namun begitu, desas-desus yang sama sekali lagi kedengaran untuk model kemaskini yang akan datang. Memetik salah satu ciapan Ketua Pegawai Eksekutif Display Supply Chain Consultant, Ross Young, terdapat beberapa perubahan penting yang akan dilakukan pada Samsung Galaxy Z Flip 5 yang akan datang.

Peranti dipercayai hadir dengan skrin luaran lebih besar dengan saiz paparan diantara 3.3-inci hingga 3.4-inci. Sekiranya benar, ini adalah perubahan yang amat ketara berbanding skrin luaran 1.9-inci yang digunakan pada Galaxy Z Flip 4 ketika ini. Dalam pada itu, sokongan engsel turut akan ditambahbaik dengan rekaan serba baharu, di sampingn turut dipercayai mampu mengurangkan isu kewujudan kesan lipatan pada skrin dalam.

Tiada maklumat mengenai spesifikasi dalam dan tarikh pelancaran khusus yang diketahui setakat ini. Apa yang boleh kita jangkakan, segmen telefon pintar boleh lipat jenis clamshell semestinya menjadi lebih menarik dalam tempoh masa mendatang. Ia berikutan semakin banyak pilihan yang akan disediakan buat pengguna, misalnya seperti Oppo Find N2 Flip yang pernah tular baru-baru ini.

Komen