Cari @ Amanz

Seperti kebanyakan pengeluar utama, Motorola juga merupakan jenama yang sering memberi tumpuan terhadap pembuatan telefon pintar yang berkualiti. Khususnya sokongan spesifikasi dalaman yang kebanyakannya dilihat menarik, dalam masa sama dijual pada julat harga jualan boleh diterima.

Perkembangan terkini mendedahkan terdapatnya telefon pintar baharu Motorola dikenali sebagai Moto X40 Pro yang kini tertiris di arena web. Ia dipercayai menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2, selain turut mempunyai ciri IP68 sebagai pelindungan tambahan. Rekaaannya juga telah diperlihatkan dalam beberapa imej pengolokan yang dikongsi oleh OnLeaks dengan kerjasama MySmartprice.

Skrin hadapan berlubang dengan saiz bezel agak nipis masih dikekalkan seumpama generasi sebelum ini. Perbezaan yang dibuat adalah pada susunan kamera utama, yang mana kini mempunyai dua sensor berbentuk besar dan satu lagi bersaiz kecil. Kedudukan LED Flash juga kini ditempatkan dalam modul kamera yang sama dengan sensor-sensor berkenaan.

Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui pada sisi kanan. Sementara itu, sisi kiri dibiarkan kosong. Slot SIM pula boleh ditemui pada bahagian bawah yang diletakkan bersama port USB-C dan pembesar suara yang dipercayai sejenis stereo. Ia berikutan satu lagi pembesar suara turut kelihatan pada sisi atas telefon pintar.

Tiada tarikh pelancaran khusus yang diketahui setakat ini. Bagaimanapun, terdapat kebarangkalian untuk telefon pintar ini diumumkan dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd