Semasa saya ke acara Disney Content Showcase APAC 2022 mewakili Aksiz, saya sempat berbual dengan wakil Disney yang saya tidak boleh sebutkan namanya mengenai Disney+ Hotstar di Malaysia dan Disney+ – kenapa Hotstar tidak menawarkan pengalaman penggunaan yang bagus berbanding Disney+ biasa?
Jawab beliau, benar ramai pengguna melaporkan perkara yang sama. Pertama tidak semua TV Samsung dapat menggunakan Disney+ Hotstar dan antaramuka yang tidak begitu mesra pengguna. Sebab utama kenapa Disney+ dan Disney+ Hotstar diasingkan adalah, Hotstar memfokuskan kepada kandungan tempatan di mana Disney bekerjasama dengan studio-studio untuk menyertakan banyak kandungan eksklusif. Sementara Disney+ adalah kandungan daripada studio Disney sahaja.
Tetapi di Singapura, Jepun dan beberapa negara APAC lain – kandungan tempatan masih boleh disiarkan. Kenapa negara ini menerima Disney+ dan Malaysia Disney+ Hotstar? Disney sebenarnya pernah merancang untuk menggabungkan dua platform ini kepada satu dan menyelaraskan Disney+ sebagai satu jenama di seluruh dunia.
Rancangan asal adalah kandungan tempatan akan mempunyai ruang khas di Disney+. Seperti Marvel, Star Wars, Pixar yang ada bahagian tersendiri, begitu juga untuk kandungan drama Melayu, K-drama, J-drama atau juga Indonesia. Namun perancangan ini tergendala ketika Covid-19 dan sehingga hari ini tiada siapa tahu apakah perancangan Disney seterusnya.
Buat masa ini pengguna di Malaysia akan “tersangkut” dengan versi Hotstar sahaja. Tetapi kelak akan ada kemaskini seperti di India yang kini sedang menguji aplikasi baharu dengan antaramuka yang lebih baik, lebih segar, sokongan profil dan lebih mesra pengguna. Cuma masih tidak tahu jika ia akan diedarkan secara lebih meluas. Sama-sama kita nantikan.