iPad generasi ke-10 dilengkapi dengan skrin 10.9-inci dengan paparan Liquid Retina, dijana dengan cip Apple A14 Bionic, memori 4GB RAM, storan sehingga 256GB, kamera utama 12MP, kamera swafoto 12 MP, serta sambungan WiFi 6 dan sokongan rangkaian 5G bagi versi selular. Ia juga hadir dengan rekaan baharu yang rata pada skrin dan keseluruhan tubuh dengan sokongan papan kekunci Magic Keyboard Folio dan Apple Pencil generasi pertama.
iPad 10 ini boleh dibeli pada harga bermula RM2,099. Terkini, untuk menjadikan pengalaman penggunaan iPad asas ini lebih menarik dan seakan premium, Logitech telah menawarkan sejumlah aksesori baharu. Ia adalah satu alternatif jika pengguna rasakan aksesori dari Apple mahal.
Pertama adalah Logitech Combo Touch, iaitu kerangka papan kekunci dengan lampu backlight, mempunyai kaki untuk kegunaan mod berbeza seperti Sketch Mode, View Mode dan Read Mode, serta trackpad dengan ciri sama pada kerangka asli Apple. Paling menarik, ia menyokong sambungan Smart Connector melalui magnet atau juga Bluetooth. Ia juga membolehkan pengguna menggunakan ciri iPadOS 16 terus melalui papan kekunci. Papan kekunci pada kerangka ini turut boleh ditanggalkan. Ia dijual pada harga RM768.
Slim Folio pula adalah kerangka papan kekunci yang lebih asas. Ia menawarkan papan kekunci saiz “penuh” seumpama Keyboard Folio Apple tanpa pad sesentuh. Ia hadir dengan rekaan nipis, tetapi melindungi iPad secara keseluruhan. Dengan iPadOS 16, pelbagai akses pantas boleh dilakukan pada papan kekunci. Sambungan menggunakan Bluetooth LE dan bukannya Smart Connector, ia dikuasakan dengan dua sel bateri bulat dengan ketahanan sehingga tiga tahun. Logitech turut menyertakan tempat menyimpan Apple Pencil atau Apple Crayon. Harga jualan adalah RM449.
Seterusnya adalah Rugged Folio, iaitu kerangka tahan lasak dengan kelulusan gred tentera dengan papan kekunci terbina. Ia menawarkan kaki sama dengan Combo Touch untuk penggunaan pelbagai mod begitu juga dengan papan kekunci dengan ciri yang sama. Bezanya, papan kekunci ini menyokong perlindungan air tertumpah dan tiada sebarang masalah jika terjatuh pada ketinggian sekitar 2 meter. Tempat simpan Apple Pencil dan Logitech Crayon turut terbina, papan kekunci menyokong pengalaman menaip yang senyap dan ia menggunakan sambungan Smart Connector. Tiada harga Malaysia lagi, tetapi di pasaran terpilih ia dijual pada harga sekitar RM600.
Akhir sekali adalah Crayon iaitu stilus alternatif kepada Apple Pencil generasi pertama yang disokong pada iPad 10. Crayon menggunakan teknologi sama dengan Apple Pencil, jadi ciri melukis, menulis, mencatat nota yang lancar dan seakan pen/pensel sebenar disokong. Ia juga hadir dengan suis hidup/mati untuk penjimatan bateri dan menyokong sambungan automatik pantas pada iPad. Atas suis turut ada tiga lampu LED untuk indikasi status bateri dan Crayon menggunakan pengecasan USB-C. Logitech turut menyertakan tip pintar untuk kebolehan melukis garis tebal atau nipis dengan mengubah kedudukan Crayon sahaja sama ada tegak atau senget. Harga jualan adalah RM309.
Kesemua aksesori Logitech ini akan dijual bermula bulan ini. Ia boleh dibeli melalui Lazada atau Shopee rasmi Logitech. Combo Touch, Slim Folio dan Crayon sudah sah akan dijual di Malaysia, tetapi Rugged Folio masih tidak ditentukan lagi.