Seperti yang dilaporkan sebelum ini, TSMC dilihat akan membuka kilang pengeluaran cip pemprosesan pertama di luar Taiwan di Arizona sekitar 2024 kelak. Perkara ini turut memperlihatkan bahawa Apple akan menjadi diantara pelanggan pertama kilang tersebut yang akan mengeluarkan cip pemprosesan menggunakan proses N5 (5nm).
Melalui laporan Nikkei, ia kini turut disahkan bahawa NVIDIA juga akan menjadi pelanggan awal kilang tersebut, dengan output pengeluaran awal kilang tersebut adalah sekitar 20 ribu wafer sebulan. TSMC dilihat mahu meningkatkan jumlah output tersebut ke 40 ribu wafer sebulan dengan memperkenalkan teknologi mengilangkan cip 3nm yang akan mengeluarkan 20 ribu wafer juga sebulan.
Buat masa ini, Apple dilihat akan menjadi pelanggan pertama kilang tersebut, diikuti oleh NVIDIA yang dijangka akan memanfaatkan penggunaan cip 5nm juga kelak. Perkara ini, menurut TSMC akan membolehkan syarikat-syarikat ini untuk mengurangkan kos tarif import komponen-komponen ini.
Dalam pada itu, syarikat-syarikat seperti AMD dan Xilinx juga dilihat mahu membeli kapasiti pengeluaran dari kilang Arizona tersebut, tetapi buat masa ini masih tiada butiran lanjut yan diperkatakan mengenainya.