Cari @ Amanz

Pada tahun ini, industri pelancongan dan hospitaliti seluruh dunia mula dilihat bangkit setelah dua tahun terjejas dan ‘suram’ akibat pandemik Covid-19. Pelbagai perubahan, inisiatif dan program mula dirangka oleh syarikat syarikat berkaitan, termasuklah tiket.com, yang merupakan portal pelancongan atas talian yang beroperasi di Indonesia. 

Beroperasi sejak tahun 2011, tiket.com merupakan antara portal pelancongan atas talian yang berpusat di Indonesia, menghimpunkan pelbagai kemudahan dalam merancang perjalanan percutian idaman di bawah satu aplikasi. Ini termasuk memudahkan pelanggan menempah tiket penerbangan, penginapan, sewaan kereta dan sebagainya. tiket.com juga merupakan rakan kongsi rasmi Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, yang sama-sama berusaha meningkatkan keuntungan industri pelancongan Indonesia khususnya pasca pandemik. 

Aplikasi tiket.com menekankan pelbagai ciri menarik yang dapat membantu pengguna dalam membuat keputusan tepat untuk percutian idaman mereka. Antaranya adalah kemudahan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai tempat tempat menarik untuk dikunjungi, beserta penjualan tiket. Bukan itu sahaja, pengguna aplikasi ini juga boleh meninjau harga tiket penerbangan yang menepati bajet, sekaligus menjadikan percutian berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Aplikasi ini turut dilengkapi dengan pelbagai kod promosi yang boleh digunakan, serta Elite Reward yang memberi ganjaran diskaun dan faedah istimewa.

tiket.com telah melancarkan program “Safer Vacations with tiket.com x Antis”, hasil kolaborasi bersama Antis, jenama cecair pembasmi kuman nombor satu Indonesia. Fokus utama program ini dilaksanakan adalah bagi menyediakan percutian yang selesa dan selamat dari sebarang ancaman kesihatan, khususnya kepada orang ramai yang ingin melancong ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

tiket.com menawarkan kit penjagaan diri secara percuma bagi setiap tempahan penginapan dan hotel, dimana mereka boleh menggunakannya untuk  penjagaan kesihatan ketika bercuti. Menurut Sara Elorza Susanto, Penolong Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa tiket.com, inisiatif ini dibuat hasil rasa tanggungjawab dalam menyediakan pelbagai faedah termasuk keselamatan dan keselesaan pelanggan ketika bercuti.

Walaupun jenama dan penawaran tiket.com ini masih belum tersedia di Malaysia secara keseluruhan dan masih di dalam fasa perancangan, inisiatif ini jelas merupakan kaedah yang berkesan dalam menarik minat orang ramai untuk melancong ke Malaysia, dan seterusnya, memulihkan industri pelancongan yang sudah dua tahun ‘suram’ akibat Covid-19. 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd