Cari @ Amanz

Xiaomi baru-baru ini terpaksa membuat penjadualan semula untuk pengenalan produk baharunya tanpa menyatakan sebab yang khusus. Tiada kemaskini lanjut mengenainya yang dikongsikan setakat ini. Tetapi hanya beberapa butiran utama telefon pintar sahaja yang ditemui tertiris di arena web.

Ini termasuklah rekaan untuk telefon pintar ini yang didedahkan menerusi beberapa poster acah tular. Ia menunjukkan dua peranti dengan binaan tubuh yang berbeza tetapi memuatkan modul kamera berbentuk segi empat di belakang. Salah satu daripadanya menggunakan tubuh berkotak yang dipercayai adalah Xiaomi 13.

Sementara itu, sebuah lagi telefon pintar dengan tubuh nipis yang dipercayai digunakan pada variasi pro. Turut disertakan adalah sistem tri-kamera bersama LED Flash dan penjenamaan Leica yang turut diposisikan dalam modul kamera yang sama.

Panel hadapan berlubang di tengah dengan sokongan kamera swafoto tunggal turut digunakan pada kedua-duanya. Tetapi Xiaomi 13 dikatakan menggunakan skrin sejenis rata, manakala variasi pro pula menampilkan skrin sejenis melengkung pada kedua-dua sisi.

Maklumat mengenai spesifikasi yang didedahkan mungkin agak terhad buat masa ini. Di mana, cip Snapdragon 8 Gen 2 dan kamera 1-inci Sony IMX989 akan digunakan pada variasi Pro. Namun apa yang menariknya adalah ia telah melepasi pengesahan SIRIM yang menandakan pelancarannya di Malaysia boleh berlangsung dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd