Carian
Siri Tecno Phantom X2 Kini Rasmi Dengan Dimensity 9000 Dan Skrin AMOLED 120Hz
December 8, 2022 Amy Maizuraa

Dua telefon pintar di bawah siri Tecno Phantom X2 telah diumumkan secara rasminya di Dubai. Dikenali sebagai Tecno Phantom X2 dan Tecno Phantom X2 Pro, kedua-duanya mempunyai banyak persamaan baik dari aspek rekaan mahupun perkakasan dalaman.

Melaluinya, skrin sejenis AMOLED sebesar 6.8-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz digunakan. Lapisan kaca Corning Gorilla Glass Victus turut disertakan sebagai pelindungan tambahan pada telefon pintar. Kemudian, cip MediaTek Dimensity 9000 digunakan sebagai tunjang utama dengan gabungan memori 12GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman 256GB (UFS 3.1). Kapasiti bateri adalah 5160mAh dengan sistem pengecasan pantas 45W dan kamera swafoto pula sebesar 32MP.

Perkara yang membezakan di antara kedua-dua peranti hanyalah terletak pada konfigurasi kamera utama. Phantom X2 Pro dilengkapi kamera 50MP yang menggunakan sensor ISOCELL 3.0 1/1.3″ (Samsung ISOCELL GNV), kamera telefoto 50MP (ISOCELL JN1, f/1.5) dengan zum optikal 2.5X dan kamera ultra-lebar 13MP (f/2.2). Sementara itu, Phantom X2 pula dilengkapi kamera 64MP dengan sensor RGBW + kamera ultralebar 13MP yang turut menyokong mod makro dan kamera kedalaman 2MP.

Menariknya lagi, Phantom X2 Pro juga boleh didapati dalam kemasan edisi terhad berasaskan bahan mesra alam yang menggunakan panel belakang sejenis mikrofiber diperbuat daripada bahan kitar semula. Untuk harga jualan, Phantom X2 Pro ditawarkan pada SAR3500 (~RM4090) manakala Phantom X2 pula berharga SAR2700 (~RM3155).

Komen