Cari @ Amanz

Apple mungkin sudah kembali membeli iklan di platform media sosial Twitter, akan tetapi Twitter nampaknya mempunyai pelan tersendiri untuk memastikan bahawa mereka mempunyai cara untuk tidak memberi wang kepada Apple kerana isu potongan keuntungan 30% keatas sebarang pembayaran yang dibuat melalui platform pembayaran aplikasi iOS.

Terkini, Twitter dilaporkan akan meningkatkan harga langganan Twitter Blue mereka ke $11 jika pembayaran dibuat melalui aplikasi iOS mereka, iaitu peningkatan 30 peratus daripada harga langganan asal mereka, iaitu $8.

Bukan itu sahaja, Twitter dijangka akan menurunkan harga langganan Twitter Blue ke $7 sekiranya pembayaran dilakukan melalui laman web Twitter. Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada peningkatan harga ini akan berlaku kepada aplikasi Twitter untuk Android ataupun tidak.

Elon Musk sebelum ini mendakwa bahawa Apple tidak percaya akan kebebasan berkata apabila syarikat tersebut menarik iklan daripada platform tersebut untuk beberapa minggu dan telah mengatakan bahawa Apple mengait keuntungan berlebihan dengan meminta potongan 30 peratus daripada pembayaran dalam aplikasi dan langganan yang dilakukan melalui platform tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd